WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran kepada anggota BRICS supaya tidak menggantikan mata wang dolar dengan mengulangi ancaman tarif 100 peratus yang dibuatnya beberapa minggu selepas memenangi Pilihan Raya Presiden.
"Kami memerlukan komitmen daripada negara ini dengan tidak mencipta mata wang BRICS baharu, mahupun menyokong mata wang lain untuk menggantikan dolar atau berdepan kenaikan tarif 100 peratus," kata Trump menerusi ciapan di Truth Social.
Pada masa itu, Rusia berkata, sebarang percubaan AS untuk memaksa negara menggunakan dolar bakal berdepan akibat buruk.
Kumpulan BRICS termasuk Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan serta beberapa negara lain yang menyertai pakatan itu dalam beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, kumpulan ini tidak mempunyai mata wang yang sama, tetapi ia bakal direalisasikan selepas Barat mengenakan sekatan terhadap Rusia berhubung konflik di Ukraine.
"Tidak mungkin BRICS akan menggantikan dolar dalam Perdagangan Antarabangsa atau mana-mana tempat lain dan jika ada negara yang mencubanya perlu mengucapkan selamat datang tarif dan selamat tinggal kepada Amerika,"tambahnya.
Trump menyiarkan amarannya kepada BRICS ketika Kanada dan Mexico menunggu keputusan presiden itu untuk meneruskan ikrar mengenakan tarif 25 peratus ke atas rakan dagang Amerika Utara bermula 1 Februari.
Trump mahu menggunakan tarif sebagai alat untuk mendapatkan kerjasama Mexico dan Kanada bagi membantu membendung aliran dadah haram ke AS, terutamanya fentanyl opioid yang boleh membawa maut dan juga pendatang yang menyeberang secara haram ke negara itu.
Penguasaan dolar menjaminkan peranan besar mata wang AS dalam ekonomi dunia, kini dilihat telah mengukuh sejak akhir-akhir ini, hasil daripada ekonomi AS yang teguh, dasar monetari lebih ketat serta risiko geopolitik yang meningkat.
Kajian oleh Pusat GeoEkonomi Majlis Atlantik tahun lalu menunjukkan bahawa dolar AS kekal sebagai mata wang rizab utama dunia berbanding euro. - Agensi