KOTA KINABALU - Seramai 1,234 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dikerah untuk menghadapi banjir yang melanda di negeri ini.
Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, keadaan cuaca tidak menentu ketika ini memerlukan anggota bomba untuk bersiap sedia untuk menghadapi bencana banjir.
"Ketika ini, keadaan di daerah sekitar pantai timur memerlukan anggota bomba kerana beberapa kawasan dilanda banjir dan operasi sedang berjalan membantu mangsa.
"Nanti akan datang dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini di kawasan pantai barat pula, kebiasaannya di Penampang, untuk kawasan pedalaman seperti Beaufort, begitu juga Kota Belud," katanya ketika kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keperluan anggota bomba dalam menanggani bencana banjir di negeri ini susulan permintaan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang berhasrat mendapatkan bantuan daripada anggota bomba Kota Kinabalu.
Jelas beliau lagi, bantuan tersebut akan disalurkan di Sarawak selepas keadaan banjir di negeri ini reda.
"Kita teruk juga, jadi mana yang kita boleh bantu, kita bantu. Namun kita selesaikan dahulu di Sabah kerana masih banyak mangsa banjir di sini.
"Selepas selesai semuanya, barulah kita bantu andai banjir masih berterusan di sana," katanya.