KUCHING - Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang maut dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri pada Rabu.
Wan Junaidi berkata, beliau dan isteri amat berdukacita atas nasib mangsa-mangsa tanah runtuh berkenaan.
"Al-Fatihah dan salam takziah buat seluruh mangsa yang telah pergi meninggalkan kita selama-lamanya.
"Semoga kesemua mangsa ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan syuhada," katanya dalam satu kenyataan.
Tragedi yang berlaku kira-kira jam 2.50 pagi itu setakat ini dilapor telah meragut nyawa lima mangsa dan dua mangsa lagi cedera.
Dalam kejadian berkenaan, dua buah rumah telah ditimbus tanah runtuh iaitu Lot 287 A yang didiami tujuh penghuni dan Lot 287 B yang didiami lima penghuni.
Wan Junaidi turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan penyelamat dan pihak berkuasa atas usaha mereka yang tidak pernah berhenti dalam mengendalikan situasi berkenaan.
Beliau juga menekankan kepentingan aspek keselamatan untuk rakyat yang tinggal di kawasan lereng bukit dan tanah tinggi.
Tegas Wan Junaidi, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan proaktif dalam mengadakan pemeriksaan dan pemantauan keselamatan ke atas keadaan kawasan-kawasan tanah tinggi bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin supaya kejadian malang seperti itu dapat dielakkan.