Bayar penuh hak 40 peratus Sabah sebelum PRU16 - Jeffrey Kitingan

Iklan
Jeffrey berkata, isu hak 40 peratus perlu diselesaikan dan dimuktamadkan secepat mungkin.

KOTA KINABALU - Bayaran interim sebanyak RM1.5 bilion bagi memenuhi hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan sepatutnya terpakai untuk tahun 2026 sahaja.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, bayaran itu pada asalnya bertujuan sebagai langkah sementara bagi membolehkan kerajaan Persekutuan dan Sabah memuktamadkan kaedah pembayaran penuh hak berkenaan.

Iklan
Iklan

"Sekiranya aturan sedemikian telah diputuskan, penerimaannya secara tidak langsung bermakna Sabah membenarkan bayaran interim menggantikan hak sebenar 40 peratus hasil bersih Persekutuan untuk tempoh lima tahun.

"Sehubungan itu, kerajaan Sabah perlu menolak cadangan aturan pembayaran selama lima tahun tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Jeffrey yang juga bekas Timbakan Ketua Menteri berkata, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini telah memutuskan bahawa tiada semakan sewajarnya dilaksanakan sejak tahun 1974. 

"Mahkamah turut menegaskan bahawa bayaran interim, walaupun diwartakan, tidak boleh dianggap sebagai memenuhi pemberian khas 40 peratus yang termaktub dalam Perlembagaan.

Iklan

"Kerajaan Sabah sewajarnya menolak sebarang bayaran interim selanjutnya dan tidak memberikan kesan perundangan kepada pembayaran tidak sah yang telah pun dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi," ujarnya.

Tambah Ahli Parlimen Keningau itu lagi, sebagai Menteri Persekutuan yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapha Sakmud perlu memastikan isu hak 40 peratus ini diselesaikan dan dimuktamadkan secepat mungkin.

"Kerajaan Persekutuan seharusnya menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang bakal menjelang sebagai peluang untuk membuktikan komitmennya dengan memastikan pemberian khas 40 peratus yang dijamin Perlembagaan dibayar sepenuhnya sebelum hari pengundian.

"Langkah itu bukan sahaja akan membina keyakinan dan sokongan besar terhadap kerajaan Persekutuan, malah menjadi satu usaha membetulkan ketidakadilan besar yang telah sekian lama ditanggung oleh Sabah dan rakyatnya sepanjang lima dekad lalu.

"Dalam hal ini, kerajaan Sabah pula mesti berpendirian tegas dalam mempertahankan hak negeri dan rakyat Sabah serta menamatkan penderitaan yang telah terlalu lama ditanggung oleh rakyat," katanya.