TER Mossy Forest dibuka semula kepada pelancong

Iklan
TER Mossy Forest, Cameron Highlands sudah dibuka semula pada Selasa selepas 20 hari ditutup susulan kejadian tanah runtuh di kawasan terbabit. Foto JPNP

KUANTAN - Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest, Cameron Highlands sudah dibuka semula pada Selasa selepas 20 hari ditutup susulan kejadian tanah runtuh di kawasan terbabit.

Penolong Pengarah kanan Hutan Lipur, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Muhamad Rahman Mustafa berkata, keputusan itu dibuat setelah kerja membersih tanah runtuh selesai sepenuhnya.

Iklan
Iklan

"Jadi, semua aktiviti di kawasan terbabit seperti riadah termasuk mendaki Gunung Irau turut dibenarkan dilakukan," katanya pada Rabu.

Beliau berkata, pembukaan semula TER Mossy Forest telah dimaklumkan kepada pemandu pelancong atau malim gunung, termasuk pengusaha perkhidmatan kenderaan ke kawasan berkenaan.

Iklan

Jelasnya, ini bagi membolehkan mereka bersedia menerima tempahan daripada pelancong yang ingin mengunjungi kedua-dua lokasi tersebut.

Hebahan pembukaan semula TER Mossy Forest. Foto Facebook JPNP

"Pembukaan kawasan ini pastinya dinantikan oleh pelancong, memandangkan ia merupakan salah satu tarikan utama kerana suasananya yang nyaman, dingin, dan keunikan lumut yang meliputi kawasan itu.

Iklan

"Bilangan pelancong, sama ada dari dalam mahupun luar negara, ke TER Mossy Forest dan Gunung Irau terus mencatat peningkatan setiap tahun," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan penutupan sementara TER Mossy Forest berikutan kejadian tanah runtuh kelmarin yang menutup jalan untuk naik ke pusat pelancongan itu.

Pengarah JPNP, Zainuddin Jamaludin berkata, penutupan bermula pada 7 Januari dan diteruskan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.