RANTAU PANJANG - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak petrol selepas menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di kawasan pangkalan haram Gergaji di sini pada Selasa.
Tangkapan dan rampasan petrol lebih 40 liter petrol dilakukan menerusi Op Taring Wawasan pada jam 11 pagi.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Abd Hamid berkata, terdahulu pihaknya telah mengesan sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja dalam keadaan mencurigakan.
"Sejurus ditahan, hasil pemeriksaan telah menjumpai lebih 40 liter petrol tanpa dokumen yang sah.
Menurut beliau, anggaran nilai rampasan termasuk motosikal berjumlah RM6,082.
Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Hasil rampasan dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) PGA Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya.
"PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara," katanya.