Kerajaan Pahang mohon peruntukan lampu jalan di Lebuhraya Karak

Iklan
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

LIPIS - Kerajaan Pahang telah mengemukakan permohonan peruntukan baharu bagi memasang lampu jalan ekoran isu gelap di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bermula daripada Genting Sempah di Bentong.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya mengambil perhatian isu tersebut yang menimbulkan keresahan pengguna di laluan terbabit.

Iklan
Iklan

"Saya memang dapat merasakan, saya akui bahawa berlaku kegelapan cuma apa yang dimaklumkan kepada saya bahawa pernah dipasang (lampu jalan) satu ketika dahulu tetapi lampu-lampu itu dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

"Jadi untuk mendapatkan peruntukan baharu, ambil masa sedikit, tetapi itu bukan alasan bagi kita dan kita akan pastikan nanti (pemasangan lampu jalan) supaya perkara yang tidak diingini tidak berlaku di masa akan datang," katanya.

Iklan

Beliau berkata sedemikian pada pemberita dalam sidang akhbar sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jerkoh, Kampung Baru Jerkoh, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Wan Rosdy mengakui isu tersebut bukan perkara baharu dan pernah dibangkitkan beberapa kali sebelum ini malah telah dikemukakan permohonan.

Iklan

Jelasnya, pihaknya akan memberikan perhatian dan mengambil tindakan susulan bagi melihat perkembangan permohonan lampu jalan di kawasan tersebut.