Andy Teh pilih kesederhanaan

Iklan
Andy teruja kerana masih menerima angpau setiap kali Tahun Baharu Cina.

TAHUN Baharu Cina kali ini memberi erti yang cukup besar buat pelakon dan ahli seni bela diri, Andy Teh selepas tidak dapat menyambut perayaan itu bersama keluarga sepuasnya.

Kongsi Andy atau nama sebenarnya Andy Teh Kim Huat, sejak tiga tahun lalu, secara kebetulan beliau terlibat dengan penggambaran dan tidak dapat bercuti panjang.

Iklan
Iklan

Meskipun kini terikat dengan komitmen pre produksi filem Abah Saya, Uncle Mike, Andy berkata, beliau berpeluang bercuti lebih lama dan dapat meluangkan masa bersama keluarga termasuk pulang ke kampung halamannya di Kuala Selangor.

"Bagi kaum Cina, sehari sebelum tahun baharu iaitu makan besar sangat penting untuk diraikan bersama. Walaupun sibuk macam mana pun bekerja mesti pulang untuk makan besar bersama keluarga.

Iklan

"Kemudian hari raya pertama dan kedua pun sama penting. Cuma sejak tiga tahun lepas, saya tidak dapat sambut raya sepuas-puasnya kerana komitmen kerja," kongsi Andy.

Andy bersama ibu bapa, adik beradik dan anak saudaranya.

Andy berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Abah Saya, Uncle Mike di Rumah Abang Jamil, Sentul baru-baru ini.

Iklan

Berkongsi mengenai sambutan raya bersama keluarganya, Andy berkata, sebagai anak sulung daripada tiga beradik, beliau berasa bertanggungjawab untuk menjaga keakraban keluarga.

Tahun lalu, sebelum pulang ke kampung, beliau sempat berkumpul bersama adik-beradiknya dan memberikan angpau kepada ibu bapa mereka.

Salah satu momen yang menyentuh hati adalah ketika mereka membasuh kaki kedua ibu bapanya, sehingga membuatkan ayahnya menitiskan air mata.

"Bukan selalu kita buat perkara sebegini. Tradisi beri angpau ini penting, tetapi nilainya bukan pada wang. Apa yang lebih penting adalah menjaga ibu bapa setiap hari, bukan hanya ketika perayaan.

"Saya masih menerima angpau sebab belum berkahwin, tetapi saya tetap beri pada mak dan ayah. Cuma disebabkan tradisi, saya masih belum boleh memberi angpau termasuk kepada anak saudara saya,” jelasnya yang mengutamakan kesederhanaan dalam meraikan perayaan.

Selain fasih berbahasa Melayu, Andy juga boleh berbahasa Hokkien dan Tamil.

Sisi berbeza

Sementara itu, berbual lanjut mengenai projek filem terbaharunya yang berasaskan kisah benar mengenai seorang figura bernama Uncle Mike, seorang lelaki Cina yang tidak berkahwin demi menjaga adik-beradik beragama Islam.

Andy berkata, pertama kali mendapat tawaran tersebut, beliau terus membuat carian mengenai Uncle Mike dan melihat filem ini dapat memaparkan sisi berbezanya dalam lakonan.

Malah pelakon Sangkar itu mengakui berasa gementar kerana wataknya mungkin dibandingkan dengan Uncle Mike yang sebenar.

Namun, beliau mengambil pandangan positif dan memanfaatkan peluang untuk menimba ilmu serta mengembangkan bakatnya sebagai pelakon versatil.

"Dalam filem ini, ada banyak unsur emosi. Saya ambil tawaran ini untuk membuktikan bahawa saya bukan hanya pelakon aksi,” tambahnya.

Andy bersama Uncle Mike (tiga dari kanan) semasa pelancaran filem Abah Saya, Uncle Mike.

Aktif dalam aktiviti kebajikan

Tidak hanya sibuk dengan karier lakonan dan menguruskan Elitez Mixed Martial Arts Fitness Academy, lelaki yang bakal menginjak ke usia 40 tahun pada September depan turut aktif dalam aktiviti kebajikan.

Dedah Andy, sejak empat tahun lalu, beliau menjaga dua rumah anak yatim dan satu rumah orang tua di Klang.

"Saya bantu mencari dana dan pastikan ketiga-tiga rumah ini dapat beroperasi dengan baik. Kalau sibuk, saya ada pasukan yang akan membantu membeli barang keperluan dan memastikan tiada masalah kewangan,” katanya.

Andy juga pernah mengadakan program kecil sempena perayaan dengan mengajak rakan-rakan rapat untuk menyumbang kepada rumah kebajikan tersebut.

Baginya, kerja amal ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya, yang dipupuk oleh ibu bapanya sejak kecil.