KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan terpaksa melepaskan tiga das tembakan dan mengejar sebuah lori sejauh dua kilometer yang membawa muatan rokok seludup bernilai RM186,000.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, ketika kejadian kira-kira 6.15 pagi Rabu lalu, pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu melakukan intipan dan risikan dengan menggunakan motosikal.
Menurut beliau, lori satu tan itu ditahan di tepi Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang namun pemandunya bertindak agresif cuba merempuh pasukan operasi dan memecut kenderaan itu.
"Selepas bergerak sejauh dua kilometer, pemandu terbabit terus memberhentikan kenderaannya di tepi jalan di Kampung Mat Kancil, Pasir Mas sebelum melarikan diri ke kawasan semak kerana laluannya terhalang oleh kenderaan awam dari arah bertentangan," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Menurut Wan Jamal Abdul Salam, pemeriksaan terhadap lori mendapati sebanyak 124 peti mengandungi 1,240,000 batang rokok putih dengan
"Jumlah keseluruhan rampasan termasuk cukai dan lori dianggarkan lebih RM1 juta," katanya.
Jelas beliau, siasatan awal dipercayai rokok haram itu diambil di sebuah pangkalan haram di tepi sebuah sungai di daerah Tumpat berdasarkan keadaan tayar yang dipenuhi lumpur.
Katanya lagi, rokok berkenaan mungkin untuk pasaran di sekitar Kelantan.
"Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 136, Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.