Resolusi penulis bantu pengisian Malaysia Madani

Iklan
Gambar hiasan

PERSATUAN Penulis Nasional Malaysia (PENA) sebagai sebuah gerakan intelektual dalam bidang sastera, bahasa dan budaya sejak penubuhannya pada tahun 1961 telah menganjurkan Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) dan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) pada 18-20 Disember 2024 di Hotel Park Royal UNITEN, Bangi, Selangor.

Iklan
Iklan

Penganjuran kedua-dua program itu selaras dengan hasrat membina generasi penulis berwibawa dalam menghasilkan karya yang membantu peneguhan peradaban, sejajar dengan konsep Malaysia Madani.

Program yang bertemakan ‘Penulis Sebagai Teras Masyarakat Madani’ bagi SKPM III dan tema ‘Penulis Muda Mendepani Cabaran Revolusi Teknologi’ bagi PPMN IV, telah dihadiri oleh 300 penulis dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh tanah air.

Iklan

Penyertaan besar daripada penulis pelbagai strata dan peringkat usia menjadikan pertemuan itu berimpak tinggi, lebih-lebih lagi tiada batasan dan kekangan dikenakan kepada peserta.

Sebagaimana lazimnya, PPMN IV dan SKPM III telah merumuskan resolusi yang mencakupi pelbagai aspek.

Iklan

Dalam usaha membantu pembinaan sastera Madani dalam peningkatan pendidikan, kerajaan digesa memperkukuh kedudukan bahasa dan kesusasteraan Melayu dalam kurikulum serta sistem pendidikan.

Caranya adalah dengan meningkatkan pembelajaran berbentuk interaktif dan kreatif untuk menarik minat generasi muda terhadap karya sastera Melayu.

Pembinaan Sastera Madani perlu ditangani oleh pemegang punca kuasa yang semestinya memiliki etos ilmuwan, adab, akhlak dan teguh memegang nilai keadilan.

Sastera Madani tidak bertentangan dengan prinsip Rukun Negara dan tidak boleh berkompromi dalam unsur syubhah.

Selain itu, kerajaan juga diminta mempertingkatkan penerbitan karya sastera Melayu dalam pelbagai genre termasuk yang bersifat kontemporari dan berbentuk terjemahan.

Hal itu memerlukan penglibatan kolaborasi antara penerbit, penulis dan kerajaan dalam usaha memasarkan karya sastera Melayu di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Bagi membina generasi penulis, insentif dan sokongan kewangan perlu disediakan termasuk kepada sasterawan muda sebagai dorongan kepada penghasilan karya berkualiti.

Pengarang muda perlu diberi ruang, peluang dan penghargaan sebagai tokoh sastera melalui kegiatan penataran berimpak tinggi serta memperkukuhkan nilai peradaban.

Sumbangan karya sastera perlu diiktiraf penting dalam perkembangan kesusasteraan kebangsaan sebagai mana pengiktirafan dan peruntukan besar kepada industri sukan, politik dan ekonomi.

Perkasa ekosistem sastera

Usaha yang tidak boleh diabaikan ialah memperkasakan ekosistem sastera dalam era digital terutama mendigitalisasi warisan kesusasteraan Melayu termasuk karya moden dan klasik agar dapat diakses generasi kini dan akan datang.

Pembinaan platform digital khusus bagi pengkaryaan, penerbitan dan promosi kesusasteraan kebangsaan wajar digerakkan secara serius dan bertanggungjawab.

Pemerkasaan perpaduan juga dapat dilaksanakan melalui penghasilan karya yang memartabatkan nilai kebudayaan kebangsaan dan memperkukuh jati diri bangsa terutama dalam masyarakat majmuk.

Dalam skala lebih luas, resolusi itu melihat kepentingan kerjasama serantau dan antarabangsa melalui hubungan dengan institusi atau komuniti kesusasteraan serantau dan global untuk memperkenalkan sastera kebangsaan ke persada dunia.

Perkara itu dapat direalisasikan dengan mengadakan forum, simposium dan bengkel penulisan berskala besar yang melibatkan penulis dari seluruh dunia.

Kerajaan juga diminta menyediakan peruntukan dan dana khas penter-jemahan secara tetap dan bersepadu kepada pelbagai agensi serta institusi berkaitan bagi tujuan penyebaran karya bermutu ke peringkat antarabangsa.

Dalam hal ini, atase kebudayaan perlu diwujudkan di kedutaan Malaysia di negara-negara yang difikirkan strategik untuk promosi karya sastera dan kebudayaan kebangsaan.

Merujuk kepada pengumuman Menteri Kewangan dalam pem-bentangan belanjawan baru-baru ini bahawa dana RM50 juta akan disalurkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), resolusi tersebut mencadangkan pemain industri kreatif dan persatuan yang berkaitan dengan sastera diturutsertakan dalam perbincangan untuk pengagihannya.

Soal kewangan sangat sensitif, oleh itu perancangannya wajar dibuat secara bersama.

Satu lagi isu yang bukan julung kalinya dibangkitkan ialah penubuhan Majlis Sastera Kebangsaan yang menjadi badan pengurus hal ehwal kesusasteraan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Dengan punca kuasanya terletak di bawah Perdana Menteri, bidang yang dapat ditangani adalah lebih luas.

Resolusi yang dibentangkan oleh Mohd Khair Ngadiron selaku pengarah program dan Zaifulnizam Wagiran (Penyelaras PPMN IV ) itu disediakan oleh Jawatankuasa Penyediaan Resolusi yang terdiri daripada Dr Mohamad Saleeh Rahamad (Pengerusi), Dr Mohd Hanafi Ibrahim, Dr Shamsudin Othman, Mohd Khair Ngadiron dan Zaifulnizam Wagiran.

Butiran resolusi tersebut dipetik daripada pembentangan kertas kerja dan ucaptama bagi kedua-dua program. Pemakalah bagi PPMN IV ialah Jamalee Bashah, Hafizah Iszahanid, Azzah Abdul Rahman, Muhammad Fadli al-Akiti, Muhammad Lutfi Ishak (ucaptama), Ahmad Muziru Idham Adnan, Muhammad Zarif Hassan, Mohamad Zaki Halim, Khoo Pau Liang, Sarah Ross dan Hidayyah At Tarmizi.

Pemakalah bagi SKPM III terdiri daripada Profesor Madya Dr Mohd Zariat Abdul Rani, Profesor Datin Dr Ruzi Suliza Salam, Dr Muhaimin Sulam, Dr Mohamad Saleeh Rahamad (ucaptama), Profesor Dr Hashim Ismail, SN Datuk Rahman Shaari, Datuk Dr Jeniri Amir, Syed Mohd Zakir Syed Othman, Datuk Dr Lim Swee Tin, Amir Muhammad, Noor Amin Ahmad, Datuk Dr Ramzah Dambul, Sheikh Faizal Sheikh Mansor; Dr Fahd Radzi, Adibah Omar, Dr Madiawati Mamat, Ninot Aziz, Nisah Haron dan Datuk Dr Sohaimi Abdul Aziz.

*Dr Mohamad Saleeh Rahamad ialah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)