Pencemaran udara di Bangkok kritikal

Iklan
Kerajaan menawarkan pengangkutan awam percuma selama seminggu bagi menangani krisis pencemaran itu.

BANGKOK - Pencemaran udara yang semakin kritikal di ibu kota Thailand memaksa penutupan 352 sekolah di 31 daerah pada Jumaat.

Data terkini IQAir menunjukkan paras pencemaran partikel terampai PM2.5 telah mencecah 108 mikrogram untuk setiap meter padu.

Iklan
Iklan

Bacaan itu menjadikan Bangkok sebagai bandar raya utama ketujuh paling tercemar di dunia setakat ini.

Susulan keadaan yang semakin membimbangkan, pihak berkuasa Bangkok juga mengumumkan pengangkutan awam secara percuma selama seminggu sebagai usaha meredakan lalu lintas yang dicemari gas bertoksik, karbon monoksida.

Iklan

Pencemaran udara bermusim telah sekian lama melanda Thailand dan negara lain di rantau Asia Tenggara, namun keadaan berjerebu teruk pada minggu ini menyaksikan penutupan sekolah paling banyak sejak 2020.

Pada Khamis, lebih 250 sekolah di bawah Pihak Berkuasa Metropolitan Bangkok juga ditutup selepas pihak berkuasa menyarankan orang ramai supaya bekerja dari rumah dan melarang kenderaan berat memasuki kota metropolitan tersebut.

Iklan

Menteri Dalam Negeri, Anutin Charnvirakul juga melarang pembakaran sisa tanaman untuk membersihkan kawasan ladang dan mereka yang gagal mematuhi arahan itu berisiko dikenakan tindakan undang-undang.

Sementara itu, Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra yang menghadiri Forum Ekonomi Sedunia di Switzerland juga menggesa pelaksanaan langkah tegas bagi menangani pencemaran berkenaan termasuk mengehadkan projek pembinaan di ibu kota dan mendapatkan kerjasama dengan negara jiran. - AFP

Info:

>Bandar di negara jiran Vietnam dan Kemboja juga berada dalam senarai paling tercemar IQAir pada Jumaat dengan Ho Chi Minh berada di tangga kedua manakala Phnom Penh di kedudukan kelima.

>Pencemaran udara semakin teruk di rantau Asia sejak akhir-akhir ini terutamanya di Pakistan dan India.