SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus dari kadar biasa sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 bagi semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) pada 27 dan 28 Januari ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, potongan tol itu akan bermula 12.01 tengah malam pada 27 Jan (Isnin) dan akan berakhir 11.59 malam, pada 28 Jan (Selasa) dengan peruntukan bayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggar berjumlah RM20.08 juta.
Menurutnya, pengurangan tol 50 peratus itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet hari ini dan akan dilaksanakan di semua plaza tol, kecuali di sempadan negara, iaitu di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
"Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024.
"Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selaras dengan agenda Kerajaan Madani dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Alexander memaklumkan dasar pemberian tol percuma untuk semua perayaan utama tidak akan diteruskan bermula tahun ini termasuk bagi sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Bagaimanapun katanya, pemberian tol percuma itu mungkin akan dilaksanakan sekiranya terdapat pertimbangan lain dan ia akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Tambah Alexander, ia selaras dengan agenda Kerajaan Madani dalam menjaga perpaduan, kesejahteraan rakyat didukung oleh kedudukan kewangan kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi dan peningkatan pelaburan serta perdagangan.
"Implikasi kewangan yang ditanggung Kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada Syarikat Konsesi Tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.
"Pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023.
"Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024," katanya.
Tambah beliau, semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini.
Dalam pada itu, menurutnya, pengguna disarankan memuat-turun apps MYPLUS-TTA di PLUS App (Official) untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) bagi meningkatkan aspek keselamatan dalam pengalaman pemanduan supaya kita semua dapat sampai ke destinasi dengan selamat bagi memaknai pengertian sebenar sambutan perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.
Ujarnya, semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS).
"Pengguna yang menggunakan lorong Smart Lane diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong Smart Lane yang telah diaktifkan, memandu dengan kelajuan yang ditetapkan dan peka dengan keadaan sekeliling semasa.
"Pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya yang dikemaskini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook (Lembaga Lebuhraya Malaysia), di aplikasi X (@LLMtrafik) serta di TikTok (@llmtrafik).
Selain itu, pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk memperolehi keadaan trafik terkini atau bantuan.
Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna juga boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my. Di samping itu, maklumat keadaan trafik juga boleh diperolehi daripada WhatsApp Channel LLM Info Trafik.