KUALA LUMPUR - Perbincangan bersama syarikat penjagaan kesihatan dan penyelesaian kecerdasan buatan (AI), Yidu Tech Inc berpotensi mewujudkan kerjasama bagi mengubah infrastruktur penjagaan kesihatan dan perubatan Malaysia.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo menyatakan harapan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi merangkap Pengasas Yidu Tech, Gong Ying Ying pada luar acara Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland, yang akan berakhir esok.
Iklan
Iklan
Gobind antara delegasi Malaysia ke forum peringkat tinggi tahunan itu, yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Teknologi termaju ini akan mencapai beberapa objektif penting: mengurangkan dengan ketara beban kerja harian profesional kesihatan, meningkatkan kualiti dan keberkesanan penyampaian rawatan pesakit, dan akhirnya mencapai pengurangan yang signifikan dalam kos keseluruhan sistem penjagaan kesihatan," kata Gobind dalam satu hantaran di platform X pada Khamis.
Yidu Tech beroperasi terutamanya dalam tiga segmen perniagaan iaitu platform data raya dan penyelesaian, penyelesaian sains hayat, dan platform pengurusan kesihatan dan penyelesaian.
Syarikat yang diasaskan pada 2014 ini disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Hong Kong. - Bernama