KUALA TERENGGANU - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu merampas 24 ekor kambing yang dipindahkan tanpa kebenaran di Sungai Tong, Setiu, hari ini.
Pengarahnya, Dr Anun Man berkata, rampasan menerusi Op Tahun Baru Cina itu, dibuat kira-kira 12.30 tengah hari di Jambatan Kampung Banggol Nibung, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu.
Beliau berkata, anggota penguat kuasa terpaksa mengekori sejauh 68 kilometer sebelum menahan van berkenaan yang dinaiki dua lelaki berusia sekitar lingkungan 20-an.
"Jumlah keseluruhan rampasan termasuk van ialah sekitar RM94,000. Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya pada sidang media di Pejabat Veterinar Negeri Terengganu, di sini pada Khamis.
Anun berkata, pihaknya juga mengesan modus operandi baharu menggunakan van untuk memindahkan ternakan bagi mengelak ditahan.
"Mereka menukar modus operandi daripada menggunakan lori kepada van bagi mengaburi mata penguat kuasa. Bagaimanapun, kita berjaya mengesan kegiatan ini hasil risikan dan pemantauan berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli ternakan kambing yang dijual pada harga murah di pasaran, kerana dikhuatiri tidak melalui pemeriksaan dan kawalan penyakit oleh JPV.
Ia berikutan pihaknya telah mengesan penyakit zoonotik pada lembu dan kambing yang dibawa masuk tanpa kebenaran, tahun lepas.
"Kita telah mengesan penyakit Brucellosis pada kambing dan lembu yang dirampas serta Non Tuberculous Mycobacterium yang berisiko membawa jangkitan kepada manusia.
"Ia merupakan kes pertama dikesan di Terengganu dalam kalangan ternakan yang dirampas,” katanya. - Bernama