Polis tunggu laporan forensik kertas siasatan dakwaan KJ

Iklan
Razarudin Husain. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung kes Titah Adendum membabitkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 15 Januari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, meskipun kertas siasatan itu telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara, kertas siasatan itu dikembalikan semula kepada pihak PDRM bagi menunggu laporan forensik.

Iklan
Iklan

"Kertas siasatan dikembalikan semula bagi menunggu laporan forensik yang masih belum siap," katanya ringkas pada Khamis.

Pada 13 Januari, media melaporkan Razarudin mengesahkan Khairy telah diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) jam 3 petang di pejabatnya di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara, di sini.

Iklan

Razarudin melaporkan, PDRM menerima dua laporan berhubung kes tersebut.

Sehubungan itu katanya, siasatan dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.

Iklan

Laporan polis dibuat Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman terhadap Khairy di Balai Polis Sentul.

Terdahulu, Khairy menerusi siaran audio siar 'Keluar Sekejap' mendakwa terdapat krisis kepercayaan terhadap bekas partinya UMNO, susulan isu Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Khairy turut mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah.