Kerajaan perlu tegas tangani isu Perjanjian Air 1962

Iklan
Singapura membayar pampasan RM320 juta dan menanggung kos pembinaan serta penyelenggaraan Empangan Linggui di Johor yang membekalkan air ke republik itu

SHAH ALAM - Kongres Rakyat Negeri Johor mengharapkan kerajaan mengambil pendekatan lebih tegas dalam menangani isu Perjanjian Air Sungai Johor 1962 antara Malaysia dan Singapura.

Pengerusinya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, jika isu tersebut tidak diselesaikan ia dibimbangi akan mengundang konflik dan seterusnya menjadi konflik antara kedua-dua negara dan akhirnya membawa kepada sesuatu yang lebih buruk.

Iklan
Iklan

"Kita tidak mahu kerana isu air ini ia akan menyebabkan Malaysia dan Singapura bermusuhan tetapi perlu ada ketegasan dalam kalangan wakil kerajaan dalam perbincangan berhubung perkara ini.

"Melihat kepada pengalaman sebelum ini, negara pernah kehilangan hak terhadap Pulau Batu Putih dan perkara yang sama tidak seharusnya berulang dalam isu Perjanjian Air 1962 ini,” katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Harian di sini malam kelmarin.

Iklan

Menurutnya, pihak yang berkepentingan termasuk media massa digesa tidak menghentikan isu berkenaan supaya rakyat di negara ini sedar bahawa ia menjadi kepentingan bersama dalam memperjuangkan agar harga itu tidak kekal pada nilai sama sehingga tamat perjanjian tersebut.

Katanya, sekiranya isu Perjanjian Air Malaysia-Singapura 1962 dihentikan, maka masyarakat akan lupa mengenainya dan kesannya akan menyebabkan isu itu terus berlarutan serta gagal diselesaikan.

Iklan

"Sehingga kini saya masih belum melihat mana-mana netizen di negara kita yang membuat satu hantaran ataupun kenyataan yang menyokong penjualan air kepada Singapura pada harga 3 sen bagi 1,000 gelen air.

"Ini bermakna rakyat pada hari ini melihat bahawa dengan kadar 3 sen yang dikenakan kepada Singapura sejak 1962 sehingga 2061 itu adalah satu perkara yang sangat-sangat tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat satu kenyataan pada 2018 bahawa sudah sampai masanya Malaysia menilai kembali dan membincangkan semula isu Perjanjian Air Sungai Johor 1962.

Katanya, isu itu tidak dibangkitkan sebelum ini, namun pada 1998 sehingga 2002 kerajaan kembali membincangkan perkara itu sehingga ia turut mengundang konflik kepada kedua-dua negara.

"Pada masa itu, Malaysia mencadangkan untuk menjual air pada harga 60 sen bagi 1,000 gelen air dari 2007 sehingga 2061, namun Singapura turut mengutarakan cadangan membelinya pada harga 45 sen selain turut membawa cadangan berpakej dengan membawa isu-isu berkaitan seperti isu tanah di Woodland.

"Malah situasi itu dilihat Singapura seolah-olah menjadikan isu air sebagai senjata buat mereka dalam menyelesaikan masalah-masalah lain yang melibatkan kedua-dua buah negara,” katanya.

Kerajaan Johor sedia jadi orang tengah

Pengerusi Kongres Rakyat Negeri Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil turut memaklumkan bahawa sebelum ini kerajaan Johor juga bersedia untuk menjadi orang tengah dalam proses rundingan berhubung isu Perjanjian Air Sungai Johor 1962.

Katanya, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal sebelum ini pernah menyuarakan kesediaan kerajaan negeri berhubung perkara itu, namun sejauh mana perbincangan itu dibuat belum diketahui.

"Gerakan ini tidak boleh hanya tertumpu kepada perbincangan semata-mata dan ini merupakan salah satu tindakan yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan.

"Bagaimanapun, gelombang itu sendiri seharusnya turut dilakukan dalam kalangan rakyat untuk menyedarkan mereka agar tuntutan kenaikan harga air bagi 1,000 gelen turut dituntut oleh rakyat Johor sendiri,” jelasnya.Khairul Faizi turut bersetuju dengan tanggapan bahawa rakyat dan Johor akan rugi sekiranya harga 3 sen per 1,000 gelen air itu kekal sebagaimana perjanjian tersebut sehingga tahun 2061.

"Walaupun isu air di Johor tidak seteruk sebagaimana berlaku di Selangor, namun kita perlu mengambil iktibar dengan pencemaran yang berlaku di Sungai Kim Kim pada Mac tahun lalu.

"Saya yang terlibat secara langsung dalam isu ini sebagai Ketua Pengarah Khidmat Malaysia melihat, akhirnya kita terpaksa mendapatkan juga air dari Singapura pada kadar yang lebih tinggi dan secara tidak langsung dilihat merugikan kita,” katanya.

Beliau berkata, setiap hari Johor perlu membekalkan sebanyak 250 juta gelen air sehari kepada Singapura dan akan sampai satu ketika mereka tidak akan mengimport lagi air dari Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, sebelum sampai tempoh itu, bekalan air di Johor itu sendiri juga akan berkurangan, namun kerajaan negeri masih perlu membekalkan air kepada Singapura.

"Jadi mahu atau tidak, sentimen ini perlu ditanamkan kepada rakyat Johor khususnya dan Malaysia amnya mengenai keperluan untuk kita melakukan rundingan semula dalam isu Perjanjian Air 1962,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Perubahan iklim rumitkan lagi rundingan air dengan Singapura

Gagal semak semula harga air bukti Singapura tidak ikhlas

Harga air 3 sen bagi 1,000 gelen sudah tidak relevan