SHAH ALAM - Insiden jurugambar menolak pengantin lelaki ke dalam parit ketika sesi fotografi sekadar gurauan spontan, bukannya gimik ‘marketing’ murahan sepertimana dikatakan orang ramai.
Pemilik butik yang hanya dikenali sebagai Fina berkata, pihaknya menganggap kejadian luar jangka itu sebagai ujian dan sudi memaafkan jurugambar berkenaan meskipun pada mulanya agak kecewa dengan perbuatan melulu tersebut.
Dia yang mesra dengan nama Mamaqi memberitahu, jurugambar terkenal itu sudah meminta maaf dan berjanji akan membayar ganti rugi baju pengantin yang rosak terkena air, namun tidak dinyatakan amaun tersebut.
"Saya ambil dari sudut positif sahaja memandangkan dia dah minta maaf dan sudi bertanggungjawab, buat apa nak panjangkan lagi isu ini?
"Apa yang saya tahu ia gurauan spontan, kejadiannya memang tak dirancang dan bukan gimik ‘marketing’. Saya pun tak ada masa nak buat konten murahan dan memang terkejut apabila diberitahu adik tentang video tersebut.
"Kemudian, pemuda itu sudi bincang cara baik dan minta maaf, saya berlapang dada sahaja. Nasib baik tukang jahit setuju nak siapkan baju baharu untuk pelanggan seterusnya walaupun dalam tempoh singkat," kata Fina menerusi penstriman langsung di TikTok pada Isnin.
Sebelum ini, tular satu video pendek memaparkan seorang jurugambar menolak pengantin lelaki yang juga kawan rapatnya ke dalam parit sewaktu sesi bergambar.
Majoriti warga maya berang dengan tindakan sedemikian dan turut mendesak jurugambar lelaki itu bertanggungjawab kerana difahamkan aksesori dan baju pengantin tidak boleh terkena air sama sekali.
Sementara itu, jurugambar terbabit yang dikenali sebagai Shaffat memaklumkan, dia mengambil iktibar dan pengajaran daripada insiden berkenaan dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
"Saya akan beri wang ganti rugi kepada pemilik butik untuk buat baju pengantin yang baharu, baju lama saya ambil.
"Kalau ada masa, saya akan jumpa dengan dia dan berbincang depan-depan," ujarnya.