PENGENDALI Sabah FC, Martin Stano kecewa selepas pasukannya hanya mampu seri 1-1 dengan Sri Pahang FC dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Likas pada Sabtu.
Menurutnya, keputusan tersebut tidak seperti diharapkannya apatah lagi sedar bakal berdepan tugas sukar di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada aksi separuh akhir kedua nanti.
"Ini bukan keputusan yang kami mahukan. Sudah tentu kami mahu menang terutama ketika kami bermain di tempat sendiri. Kami mahu ada kelebihan (gol) sebelum aksi kedua di tempat lawan.
"Malangnya, kami tidak bermain baik pada separuh masa pertama walaupun kami berjaya jaringkan gol dan mendahului 1-0.
"Kami terlalu terburu-buru ketika memegang bola dan melakukan hantaran jauh. Ini bukan (corak permainan yang) kami mahukan," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Pada perlawanan itu, Sabah membuka jaringan menerusi Stuart Wilkin pada minit kesembilan sebelum Sri Pahang menyamakan kedudukan melalui jaringan Kpah Sherman pada minit ke-66.
Beliau berkata, separuh masa kedua pasukannya bermain lebih baik namun terpaksa akur dibolosi pasukan pelawat.
"Kami juga tidak dapat sempurnakan banyak peluang yang kami cipta. Namun, kami masih ada satu peluang di Pahang dan kami perlu menggunakannya sebaik mungkin," ujarnya.