TUMPAT - Sepasang suami isteri ditahan kerana dipercayai mengambil upah membawa 539,400 batang rokok seludup dari China untuk dipasarkan kepada pekerja Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Belimbing, Tanah Merah pada 12 Januari lalu.
Tangkapan jam 11 pagi itu berjaya merampas pelbagai jenama rokok didakwa untuk sambutan Tahun Baharu Cina bernilai RM102,486 dan anggaran cukai sebanyak RM366,252.60.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, suami isteri yang berusia 34 tahun itu difahamkan menerima upah RM600 bagi satu trip.
"Lelaki terbabit merupakan seorang pemandu lori dan membawa barangan dari Lembah Klang ke Kelantan.
"Apabila selesai tugasan di sini, untuk balik semula ke sana suspek mengambil upah membawa rokok seludup ini dan kebetulan pada hari kejadian isterinya turut ada bersama," katanya semasa sidang media di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Cawangan Pengkalan Kubur di sini pada Ahad.
Menurut beliau, rokok dari China itu dibawa masuk melalui negara jiran menggunakan pangkalan haram dan Kelantan dijadikan sebagai transit.
Ujarnya, pasangan terbabit direman selama 10 hari bermula 12 hingga 22 Januari untuk siasatan lanjut.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.