ARNE Slot memuji aksi dipamerkan penyerang, Darwin Nunez selepas menjaringkan dua gol pada masa kecederaan dalam kemenangan 2-0 ke atas Brentford pada Sabtu.
Liverpool mengharungi perlawanan sukar di laman lawan itu dan berkemungkinan untuk meraih keputusan seri ketiga berturut-turut tahun ini dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum dua gol Nunez memberikan tiga mata berharga.
Penyerang Uruguay itu menjaringkan dua gol tersebut selepas masuk sebagai pemain gantian ketika The Reds kebuntuan jaringan dengan corak permainan bertahan Brentford.
Slot berkata, dia gembira tekanan demi tekanan dilakukan Liverpool pada minit akhir perlawanan membuahkan hasil terutamanya dengan impak daripada Nunez sekali gus menutup mulut pengkritik terhadap pemainnya itu.
"Dia sentiasa mempunyai banyak impak apabila dia masuk. Dalam setengah jam terakhir kami bermain dengan menekan lawan dan di situlah dia berada pada tahap terbaiknya.
"Sejam pertama selalunya terbuka tetapi 30 minit terakhir kami sangat dominan. Kemudian, untuk memiliki seseorang seperti Nunez adalah sesuatu yang sangat bagus.
"Saya bukan sahaja melihat kepada keputusan. Kami mencipta banyak peluang. Tetapi sekarang ia adalah satu kemenangan dan saya sangat gembira dengan persembahan ini," katanya.
Slot turut mengakui Brentford mempunyai pemain bagus selain taktikal yang berkesan, namun Liverpool menunjukkan mentaliti mereka untuk meraih kemenangan.
"Sepanjang musim anda mengharapkan detik-detik ini. Banyak kali sebenarnya kami boleh menjaringkan gol kemenangan lewat seperti menentang Manchester United, Nottingham Forest, Fulham, namun gagal.
"Hari ini ia berjaya. Kami berjaya menjaringkan gol dalam beberapa minit terakhir.
"Kami hampir tidak mendapatkan keputusan yang dimahukan. Jumlah peluang yang kami cipta adalah seperti ketika menentang Forest dan hari ini kami hampir pulang hampa sebelum berjaya jaringkan gol," katanya.