MERSING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing hari ini berjaya membawa keluar seorang lelaki yang cedera ketika mengendalikan mesin pembancuh simen di Pulau Rawa di sini, bagi mendapatkan rawatan.
Pengarah Maritim Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, bot ronda Maritim Malaysia Perkasa 44 yang dalam rutin Op Jaksa/Op Tiris 3.0 diarahkan ke lokasi bantuan setelah menerima aduan daripada majikan mangsa yang tercedera.
Iklan
Iklan
"Misi bantuan evakuasi perubatan ini membawa lelaki yang tercedera ketika mengendalikan mesin pembancuh simen di pulau berkenaan pukul 10 pagi tadi.
"Walaupun dalam keadaan hujan lebat, angin kuat dan laut yang bergelora, bantuan tersebut berjaya membawa mangsa Albert Emmanuel Anak Akuang, 28, yang cedera dan mengalami banyak pendarahan, dari Pulau Rawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Mersing pada jam 10.30 pagi.
"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Hospital Mersing dalam keadaan baik dan selamat bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu Suhaizan berkata, pihak Maritim Malaysia akan sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi apa jua keadaan termasuk dalam memberikan khidmat bakti kepada komuniti maritim setempat.
Katanya, sekiranya mempunyai sebarang aduan kecemasan dan aduan keselamatan di laut, orang ramai diminta segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim.-