ALOR GAJAH - Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM5.7 juta bagi Projek Pembinaan Semula Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah, Kuala Linggi di sini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pembinaan projek itu dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2026 dan bakal dilengkapi bilik darjah, kantin, pondok pengawal dan dataran perhimpunan.
"Alhamdulillah ... atas sokongan kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan 2024, projek fizikal ini diluluskan di bawah Sekolah Daif Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan 4 (RMK12-RP4).
"Usaha ini juga sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan negeri bagi memastikan semua sekolah di Melaka memperoleh ruang dan fasiliti yang kondusif sebagai faktor rangsangan positif kepada perkembangan akademik dan sahsiah murid," katanya.
Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek berkenaan dan turut dihadiri Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.
Ab Rauf berkata, menerusi pembinaan bangunan itu juga akan memberi nafas baharu kepada SK Kampung Tengah yang dibina 44 tahun lepas sekali gus usaha ke arah memperbaiki dan memperkukuh asas pendidikan di sekolah berkenaan.
"Ini pastinya akan memberikan persekitaran lebih kondusif kepada warga sekolah yang mempunyai 230 murid termasuk guru untuk menjalankan aktiviti pembelajaran dan pengajaran lebih efektif dan inklusif.
"Kerajaan negeri amat komited dan prihatin terhadap sektor pendidikan selain akan memastikan keperluan setiap sekolah di negeri ini menjadi keutamaan agar pelajar dan guru menerima manfaat serta pembelajaran yang berkualiti dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat dan melestarikan kehidupan," katanya. - Bernama