Kebakaran LA tidak setara binasa, derita Gaza

Iklan
Kediaman yang musnah dijilat api di Altadena. (Kanan: Sebahagian besar struktur di Gaza musnah dibedil Zionis sepanjang tempoh 15 bulan lalu.)

LOS ANGELES - Ketika usaha mengawal kebakaran di Los Angeles (LA) sedang dipergiatkan, platform media sosial dibanjiri pendapat yang cuba memberi persamaan bencana dahsyat itu dengan penderitaan dihadapi penduduk Gaza akibat kempen pengeboman ganas berterusan Israel.

Kebanyakan warganet membuat perbandingan tentang nilai kemusnahan, angka korban dan trauma dialami penduduk yang kehilangan tempat tinggal dalam tempoh sejak lebih seminggu lalu sedangkan penduduk Palestin sudah berdepan perang genosid selama lebih 15 bulan.

Iklan
Iklan

Dalam jangka masa itu, kira-kira 1.9 juta daripada 2.4 juta penduduk Gaza hilang tempat tinggal manakala angka korban mencecah lebih 47,000 orang selain berdepan kemusnahan harta benda yang teruk dengan nilai kerugian mencecah kira-kira AS$18.5 bilion (RM83.2 bilion).

Rakyat Amerika turut menggunakan platform media sosial untuk meraih simpati terhadap malapetaka yang sedang menimpa 'city of angels' tersebut.

Iklan

Ada juga yang mempertikaikan pemotongan bajet berjumlah hampir AS$18 juta (RM81 juta) terhadap jabatan bomba di LA meskipun pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menambah sokongan kewangan kepada Israel.

Iklan

Pada minggu lalu, Biden yang bakal meninggalkan Rumah Putih mengumumkan rancangan penjualan senjata berjumlah AS$8 bilion (RM36 bilion) kepada rejim Tel Aviv ketika ia masih memegang peranan sebagai perantara proses damai untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza.

Layanan dwistandard

Rakyat AS turut mempersoalkan bantuan ketenteraan berjumlah AS$12.5 bilion (RM56.2 bilion) yang disalurkan Washington kepada sekutu kuatnya sejak Oktober 2023.

Pengguna media sosial juga membuat perbandingan tentang tindakan komuniti global terhadap mangsa kebakaran di LA dengan malapetaka kemanusiaan di Gaza.

Ramai yang tidak berpuas hati atas layanan dwistandard diterima penduduk Palestin sedangkan empati secara berlebih-lebihan dan sumbangan terus diberikan kepada mangsa terjejas bencana kebakaran itu.

Satu lagi isu yang hangat diperkatakan warganet adalah mengenai hampir 400 banduan yang dikerah untuk menyertai bomba mengawal kebakaran itu dan hanya mendapat bayaran kurang AS$5 (RM22) sejam.

Selain itu, ada juga dakwaan yang menyebut golongan kaya LA sanggup membayar 'bomba persendirian' untuk tindak balas lebih cepat memandangkan api dijangka sukar dikawal memandangkan 'angin syaitan', Santa Ana diramalkan kembali pada minggu ini.

"Ketidaksamaan status semakin ketara di LA dan mereka yang tidak dapat berpindah ketika bencana ini kebanyakannya adalah golongan miskin atau gelandangan.

"Di sebalik setiap rumah agam yang musnah dijilat api, terdapat ribuan penduduk miskin yang kebanyakannya penyewa tinggal sehelai sepinggang. Kemusnahan rumah mereka tidak dipaparkan di media," ujar seorang pengguna media sosial.

Dua daripada empat lokasi kebakaran yang cuba dikawal sejak minggu lalu.

Terdapat juga warganet yang berpendapat impak dahsyat yang dihadapi komuniti di LA adalah untuk mereka merasai pula kesan kempen pengeboman ganas ke atas Gaza yang telah menjejaskan alam sekitar.

Kajian terbaharu menunjukkan jejak karbon tahunan lebih 20 negara paling terdedah kepada fenomena pemanasan iklim di dunia dikeluarkan hanya dalam tempoh dua bulan pertama perang di Gaza.

"Tindakan menggugurkan ratusan ribu tan bom hingga menyebabkan kebakaran berskala besar di wilayah itu akhirnya berdepan akibat dahsyat. Giliran LA pula menghadapi impak iklim," kata aktivis New York, Fatima Mohammed menerusi platform X. - Agensi