PWS bakal bangunkan Maahad Tahfiz Antarabangsa

Iklan
Anuar Hamzah (tengah) ditemui selepas Majlis Perutusan Pengerusi PWS 2025 di Shah Alam pada Khamis.

SHAH ALAM - Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) merancang untuk membangunkan Maahad Tahfiz Antarabangsa di atas tanah yang diwakafkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 7, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata, projek pembangunan dijangka bermula pada 2026 itu merupakan hasrat yang dizahirkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Sultan Sharafuddin turut berhasrat agar maahad berkenaan menekankan terhadap keperluan pelbagai bahasa seperti Inggeris, Arab dan satu lagi bahasa lain yang boleh diutamakan.

"PKNS telah mewakafkan tanah seluas kira-kira 9.9 ekar bernilai sekitar RM72 juta kepada PWS untuk dibangunkan satu Maahad Tahfiz Antarabangsa, yang mana hasrat daripada Tuanku sendiri dan ia perlu memberikan penekanan terhadap bahasa.

Iklan

"Kemudian daripada maahad ini kita boleh hantar ke peringkat universiti yang lebih utama di Eropah terutama di Cambridge dan Oxford yang mana kita mahu pelajar ini ada asas al-Quran yang kuat dan ada satu pegangan kekuatan dalaman.

"Jadi, apabila mereka kembali ke Malaysia, mereka bakal menjadi pemimpin yang mempunyai pegangan asas kuat dalam agama," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perutusan Pengerusi PWS 2025 di sini pada Khamis.

Iklan

Tambah Anuar Hamzah, pihaknya masih mencari operator untuk membangunkan maahad tersebut dengan perbelanjaan kira-kira RM45 juta.

"Sekarang sudah ada perbincangan awal mengenai pembinaan maahad ini dengan beberapa pihak dan kami masih mencari operator untuk membangunkan bangunan ini pada tahun depan," ujarnya.