IPOH - [DIKEMAS KINI] Bapa kepada dua beradik yang meninggal dunia dalam nahas berhampiran persimpangan lampu isyarat, Jalan Pasir Puteh, 8 Januari lalu menerima Faedah Orang Tanggungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pengarah PERKESO Perak, V Mohanadas berkata, faedah tersebut dibayar kepada Armi Mustafa, 59, sepanjang hayat secara bulanan.
Menurutnya, semakan mendapati arwah anaknya, Nur Amira Balqis Armi, 22, yang merupakan pekerja sektor makanan dan minuman merupakan pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak Jun 2023.
"Caruman ini melayakkan bapa arwah menerima faedah pengurusan mayat RM3,000 dan faedah tanggungan secara bulanan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Penyerahan faedah itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing ketika Ziarah Prihatin ke rumah keluarga mangsa di Taman Medan Pengkalan Damai, Lahat di sini.
Pada lawatan itu, PERKESO turut menyampaikan sumbangan kotak prihatin mengandungi barangan keperluan dapur seperti beras dan gula kepada bapa mangsa di rumah keluarga berkenaan.
Dalam kejadian sekitar jam 10.35 pagi 8 Januari lalu, Nur Amira Balqis dan adik lelakinya, Tsa Muhammad Armirul, 15, maut di tempat kejadian selepas motosikal dinaiki mereka terbabit nahas dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire.
Ketika kejadian, wanita itu dalam perjalanan menghantar adiknya ke sekolah.
Siasatan polis mendapati, kegagalan wanita berusia 38 tahun terbabit mematuhi lampu isyarat dipercayai menjadi punca kemalangan tersebut.