Pegawai baharu terkejut lihat klinik 'huru-hara'

Iklan
Keadaan sebelum (kiri) dan selepas transformasi klinik dilakukan.

PUTRAJAYA - Seorang pegawai farmasi yang baru melaporkan diri di tempat kerja baharu meraih pujian warga maya selepas berjaya mengubah farmasi pusat kesihatan tersebut dengan lebih teratur.

Menerusi perkongsian di laman TikTok, pengguna akaun yang menggunakan nama @sisuhailah berkata, beliau terkejut melihat keadaan farmasi ketika pada hari pertama melaporkan diri di sebuah klinik di Sabah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan farmasi itu kelihatan tidak terurus apabila ada ubat-ubatan di lantai, tidak mengikut kategori selain tulisan label yang halus.

"Saya bermula dengan bertanyakan idea daripada bos kanan kemudian bertindak dengan menyusun serta melabel semua ubat-ubatan.

Iklan

"Pada masa sama, saya juga bertugas di kaunter," katanya.

Selain membuang ubat yang telah tamat tempoh, Sisuhailah turut memperkenalkan label indikator ubat dengan pelbagai warna yang ditetapkan bagi memudahkan kerja-kerja farmasi dalam pengendalian ubat-ubatan.

Iklan

Walaupun mendapat reaksi kurang menyenangkan daripada 'orang lama' di tempat kerja, Sisuhailah tekad untuk melakukan perubahan.

"Akhirnya berwajah baharu, luas juga farmasi kita ini," katanya.

Perkongsian Sisuhailah itu telah menarik 26,000 tanda suka.

Sementara di ruangan komentar, warga maya berharap lebih ramai pegawai muda dihantar ke Sabah untuk mengubah sistem lama dan lapuk.

Malah kata mereka, pegawai seperti Sisuhailah layak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang atas usaha yang ditunjukkan.