SHAH ALAM - Pemuda UMNO melancarkan kempen ‘pastikan halal ori baru beli’ dalam usaha memastikan pengguna tidak tertipu dengan logo halal yang dipamerkan syarikat pembekal.
Sehubungan itu, Ketua Pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk memuat turun aplikasi ‘Verify Halal’.
"Saya nak minta bantuan seluruh rakyat Malaysia, kalau pergi ke kedai (beli barang) ada logo halal... buat pengesahan sendiri.
"Kalau kita semak, ia tiada dalam sistem... maka tolong beritahu kepada Pemuda UMNO. Kita akan pastikan mereka yang menggunakan logo halal itu itu akan dikenakan tindakan sangat keras,” katanya menerusi satu hantaran video di laman sosial, Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) telah menggantung serta-merta segala urus niaga dengan syarikat pengeluar 'sandwich ham & cheese' susulan dakwaan penemuan produk diragui status halal di dua premis kedai serbanekanya di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.
KK Super Mart dalam satu kenyataan memaklumkan segala pemprosesan produk terbabit daripada kemasukan ke mana-mana premis lain berikutan siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.
Jelasnya, hanya 16 KK Concept Store yang mempunyai kemasukan produk itu dan pihaknya telah membekukan urusan perniagaan bersama syarikat terbabit.
Walaupun KK Super Mart telah mengambil tindakan, Dr Muhamad Akmal menegaskan bahawa ia juga merupakan kesalahan pihak syarikat kerana tidak memastikan kesahihan halal sebelum produk tersebut dijual.
"Jadi kepada seluruh kedai-kedai dalam negara, ambil ini sebagai pengajaran dan pastikan produk makanan yang kamu nak jual... kalau sudah ada halal pastikan cop halal ini benar dan tengok sijil pengesahan itu.
"Pun begitu, biarlah pihak polis buat kerja dan sebagainya. Kita minta tindakan yang tegas kepada petualang vendor yang jual sandwich menggunakan logo halal palsu,” ujarnya.