Kemelut sampah haram di Taman Perindustrian Puchong Utama selesai

Iklan
MBSJ dan KDEBWM membersihkan tapak pembuangan sampah haram di Taman Perindustrian Puchong Utama, Subang Jaya, pada Selasa. Gambar kiri: Laporan Sinar Harian berhubung isu berkenaan.
SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) telah membersihkan tapak pembuangan sampah haram

di Taman Perindustrian Puchong Utama di sini, pada Selasa.

Operasi pembersihan dipantau Ahli Majlis MBSJ, Saidin Awang itu dilakukan susulan laporan pemilik bangunan mengenai kewujudan tapak pembuangan sampah haram seperti dilaporkan Sinar Harian pada Isnin.

Pemilik bangunan terbabit, Chin Chee Yuen berkata, kawasan yang terjejas terletak di Jalan Utama 1/9 bersebelahan bangunan miliknya kini bersih selepas operasi pembersihan itu dijalankan.

"Pihak pemilik dan penyewa bangunan di sini amat menghargai perhatian semua pihak terutamanya atas bantuan Saidin yang menghubungi semua pihak untuk datang menyelesaikan masalah ini.

"Saya juga amat berterima kasih kepada Sinar Harian kerana melaporkan aduan saya dan juga pihak KDEBM kerana menyelesaikan masalah ini dalam masa yang singkat," ujarnya.

Tinjauan turut mendapati tapak pembuangan sampah haram itu bersih sepenuhnya dan tiada lagi bau busuk sekali gus menghilangkan kebimbangan pengadu terhadap risiko merebaknya penyakit.

Pada Isnin, Chee Yuen menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) segera bertindak mengatasi masalah pembuangan sampah haram di kawasan berdekatan premis perniagaan mereka.