KEMAMAN - Seorang bapa maut manakala dua anaknya cedera parah apabila kereta dinaiki terbabas dan melanggar besi penghadang di sebelah kiri di Kilometer 258.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (arah Kuala Terengganu ke Kuantan) di sini pada Isnin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Ja'far berkata, lelaki berumur 70 tahun yang merupakan penumpang di bahagian hadapan itu telah tercampak keluar ke tengah jalan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Kita menerima panggilan kira-kira jam 11.49 pagi tadi berhubung kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi.
"Siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang lelaki berumur 26 tahun itu telah hilang kawalan lalu terbabas sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri.
"Akibat pelanggaran itu, penumpang hadapan iaitu bapa kepada pemandu terbabit telah tercampak keluar ke tengah jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, kemalangan itu turut menyebabkan penumpang di bahagian belakang yang juga abang kepada pemandu terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan leher.
Selain itu, katanya, pemandu tersebut juga mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan.
"Kedua beradik itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang untuk rawatan lanjut manakala bapa mereka dibawa ke unit forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut," jelas beliau.
Wan Muhamad berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Kita mengingatkan kepada semua pengguna lebuh raya agar berhati-hati ketika memandu dan peka terhadap keadaan permukaan jalan terutama ketika hujan serta mematuhi had laju ditetapkan," ujarnya.