KOTA TINGGI - Perjalanan pulang tiga sahabat termasuk seorang warga emas dari memancing bertukar tragedi apabila kesemua mereka maut setelah kenderaan pacuan empat roda dinaiki dihanyutkan arus deras dalam kawasan ladang YPJP, Ulu Sedili di sini, pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, insiden pada jam 3.35 petang itu melibatkan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dan Toyota Hilux yang dinaiki dua lagi rakan mereka.
"Ketika di lokasi, Toyota Land Cruiser telah terbabas dan dihanyutkan arus deras dalam ladang tersebut sebelum terbenam dalam lumpur berhampiran parit.
"Semasa proses penarikan, Toyota Land Cruiser telah termasuk ke dalam parit dan terus ditenggelami air dengan keadaan arus yang deras.
"Ketika kejadian dua rakan mangsa bertindak keluar dari Toyota Hilux dan cuba menyelamatkan ketiga-tiga mangsa dengan memecahkan tingkap di sebelah kiri serta hadapan dan mereka berjaya mengeluarkan salah seorang daripada tiga mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, mereka meneruskan usaha menyelamatkan dua lagi mangsa dalam Toyota Land Cruiser itu tetapi tidak berjaya kerana terperangkap dalam kenderaan yang telah dimasuki air.
Bagaimanapun rakan mangsa telah mendapatkan bantuan daripada seorang pekerja ladang YPJP Sedeli dan dibawa ke pos pengawal seterusnya menghubungi pihak bomba.
Pada masa sama katanya, Pegawai Perubatan Hospital Kota Tinggi yang tiba ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa pertama telah meninggal dunia.
Usaha mencari dua lagi mangsa diteruskan dengan penglibatan 42 pasukan keselamatan dan pihak pengurusan ladang seawal jam 6.10 petang Sabtu.
"Kedua-dua mangsa ditemui terperangkap dalam Toyata Land Cruiser telah berjaya dibawa naik ke darat masing-masing pada jam 11.07 malam dan 12.14 tengah malam.
Kesemua mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut.
Tambah beliau, kes diklasifikasi di bawah Laporan Mati Mengejut (LMM).