AMPANG JAYA - Beberapa objek tumpul dirampas susulan tangkapan melibatkan seorang ibu dan teman lelakinya yang disyaki mendera anak kandung berusia tujuh tahun di Taman Bukit Ampang, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, objek tumpul berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut berkaitan kejadian berkenaan.
"Ada beberapa objek tumpul dirampas semasa tangkapan dibuat.
"Bagaimanapun untuk mengesahkan objek terbabit digunakan sebagai senjata mengakibatkan kematian mangsa, ia bergantung kepada laporan-laporan pakar kelak," katanya menerusi kenyataan ringkas pada Ahad.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai akibat didera seorang ibu dan teman lelakinya di Taman Bukit Ampang, di sini, pada Jumaat.
Mohd Azam berkata, kanak-kanak lelaki itu dipercayai telah didera oleh ibu kandung dan teman lelakinya semasa di rumah.
Ujar beliau, mangsa mengalami kecederaan seperti kesan-kesan lebam pada bahagian muka, leher, tangan dan kaki disyaki dipukul dengan benda keras serta tumpul secara berulang.
Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, pihaknya telah menahan wanita berkenaan dan teman lelakinya berusia 25 dan 36 tahun pada jam 5.15 petang, hari sama.