Ubah suai tangki minyak untuk seleweng diesel gagal

Iklan
Tangki minyak yang diubah suai untuk mengisi lebih banyak diesel bagi tujuan diseleweng di perairan Safma, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Taktik mengubah suai tangki minyak untuk mengisi lebih banyak diesel dipercayai untuk diseleweng gagal apabila sebuah kapal pukat tunda ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Safma di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, seorang lelaki warga asing yang juga juragan kapal terbabit ditahan dan sebanyak 6,000 liter diesel berjaya dirampas.

Iklan
Iklan

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, minyak diesel terbabit dipercayai untuk dijual namun tanpa sebarang dokumen melibatkan jual beli bahan api Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Rampasan dibuat ketika pasukan PPM membuat rondaan di perairan tersebut dan pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah kapal pukat tunda disyaki menjalankan aktiviti penjualan diesel.

Iklan

"Hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan tangki minyak yang telah diubah suai berisi kira-kira 6,000 liter diesel serta peralatan untuk menjalankan aktiviti penjualan minyak," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati juragan kapal terbabit gagal mengemukakan sebarang permit melibatkan aktiviti membeli, membawa dan memasarkan diesel bersubsidi nelayan daripada pihak KPDN.

Iklan

"Susulan daripada itu, tangkapan dan rampasan telah dibuat dan seterusnya dibawa ke Pangkalan PPM Kota Kinabalu untuk tindakan siasatan lanjut.

"Kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.