KOTA TINGGI - Luluh hati seorang ibu apabila anak, menantu dan cucu kesayangannya meninggal dunia serentak dalam nahas membabitkan kereta dan lori di Jalan Batu 3 di sini pada Sabtu.
Nahas pada tengah hari itu mengorbankan Aieman Azriq Ahmad, 22, bersama isteri, Nurul Fazilah Noor Azmi, 22, dan anak bongsu pasangan itu, Aryan Khalif, lima bulan serta rakan mereka, Mohd Rasyid Razali, 18.
Masanah, 60, yang merupakan ibu kepada Aieman Azriq berkata, anak sulung arwah ada membuat panggilan video kepada ibunya tengah hari tadi tetapi tidak dijawab.
Menurutnya, hasil perkahwinan anak dan menantunya itu mereka dikurniakan dua cahaya mata di mana yang sulung adalah anak lelaki berusia tiga tahun.
"Anak sulung arwah memang rapat dengan saya dan suami kerana yang sulung memang kami bela dan jaga, kadangkala ada juga nenek atuk sebelah sana ambil bawa balik Pasir Gudang.
"Cuma tadi anak sulung mereka biasanya kalau maknya tak ada memang suka suruh atuknya buat panggilan video, namun tadi tiada yang jawab.
"Tidak sangka pula ketika itu mereka sudah terlibat dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini pada petang Sabtu.
Masanah berkata, Aieman Azriq merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan menetap bersamanya di Kampung Temenin Baru di sini.
"Saya reda dengan pemergian mereka. Semoga ALLAH tempatkan mereka bersama orang beriman.
"Jenazah tiga beranak ini akan disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin di sini," katanya.