4,500 kes amputasi dilapor di Gaza- Pegawai Kesihatan

Iklan
Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza telah merekodkan 4,500 kes amputasi sejak bermulanya serangan genosid Israel ke atas wilayah itu. Foto AFP

BANDARAYA GAZA (Palestin) - Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza telah merekodkan 4,500 kes amputasi sejak bermulanya serangan genosid Israel ke atas wilayah itu, kata seorang pegawai kanan kementerian pada Jumaat.

"Kami telah merekodkan 4,500 kes amputasi sehingga akhir 2024 akibat serangan udara dan serangan darat Israel yang berterusan ke atas Gaza,” kata Ketua Unit Maklumat Kesihatan kementerian itu, Zaher Al-Wahidi dalam satu kenyataan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kira-kira 800 mangsa yang terpaksa diamputasi adalah kanak-kanak, mewakili 18 peratus daripada kes manakala 540 wanita pula menyumbang 12 peratus daripada kes amputasi.

Beliau menambah jumlah pemotongan sebahagian anggota badan dijangka terus meningkat selagi serangan Israel berterusan, memburukkan lagi keadaan sistem penjagaan kesihatan yang sedang bergelut dengan kekurangan bekalan perubatan kritikal akibat sekatan dikenakan selama lebih 18 tahun.

Iklan

Sejak pencerobohan Israel bermula pada 7 Okt 2023, tentera Israel dengan sengaja menyasarkan kemudahan penjagaan kesihatan, mengebom hospital, memaksa pemindahan pesakit, serta menyekat bekalan perubatan penting, terutamanya di utara yang telah diserang hebat sejak 5 Oktober.

Wahidi turut menggesa sokongan antarabangsa segera untuk menangani krisis yang semakin meruncing, sambil menuntut tindakan segera bagi menghentikan pelanggaran Israel dan melindungi penduduk awam.

Iklan

Sebagai reaksi kepada peningkatan jumlah kes amputasi dalam kalangan kanak-kanak, Lisa Dutton, seorang pegawai di Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), berkata pada Oktober bahawa Gaza kini menjadi"tempat dengan kumpulan terbesar kanak-kanak yang terpaksa diamputasi dalam sejarah moden.”

Serangan berterusan Israel di Gaza telah meragut lebih 46,000 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB menggesa gencatan senjata segera. - Bernama-AA