CALIFORNIA - Sebanyak 11 kematian akibat kebakaran kini telah disahkan oleh Pejabat Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles.
Dalam kemas kini pada petang Jumaat, pejabat itu melaporkan, lima kematian berlaku dalam kebakaran di kejiranan Palisades, manakala enam lagi disebabkan oleh kebakaran Eaton.
Kematian tersebut dilaporkan berlaku di Altadena, Malibu, Pacific Palisades dan Topanga. Hanya tiga daripada kes tersebut telah disahkan melibatkan penemuan sisa manusia, menurut kenyataan tersebut.
Tiada maklumat lanjut mengenai identiti mangsa diberikan, walaupun identiti beberapa mangsa lain telah dikenal pasti melalui sumber lain. - Agensi/Awani
_____________________________________________________________________________________
Kebakaran Los Angeles: Gabenor California jemput Trump ke lokasi, gesa tidak 'politikkan' tragedi
CALIFORNIA - Gabenor California, Gavin Newsom menjemput Presiden Amerika Syarikat (AS) terpilih, Donald Trump untuk melawat negeri itu, sambil menggesa beliau agar tidak"mempolitikkan" kebakaran dahsyat yang melanda Los Angeles.
Dalam satu surat yang diterbitkan di platform X, Newsom meminta Trump untuk menyertainya meninjau kebakaran berkenaan dan"melihat kemusnahan secara langsung."
"Dalam semangat negara hebat ini, kita tidak harus mempolitikkan tragedi manusia atau menyebarkan maklumat palsu dari luar," tulis Newsom. Surat tersebut turut menyatakan"ratusan ribu rakyat Amerika - yang kehilangan tempat tinggal dan bimbang mengenai masa depan - berhak melihat kita semua bekerja demi kepentingan terbaik mereka untuk memastikan pemulihan dan pembinaan semula yang pantas."
Trump, seorang Republikan, telah bersikap kritikal terhadap pengendalian kecemasan oleh Demokrat California. - Agensi/Awani