SUBANG JAYA - Hampir 29,000 aduan penduduk diterima melalui pelbagai platform disediakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi tempoh Januari hingga November tahun ini.
Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, antara aduan tertinggi yang diterima adalah berkaitan isu infrastrukur dan landskap.
"Isu infrastrukur itu adalah seperti lampu jalan rosak dan landskap pula membabitkan pokok-pokok besar," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kitar Semula Sekolah, Pertandingan Sketsa Pendek dan Seni Doodle MBSJ 2024 di Hotel Summit Subang Jaya pada Selasa.
Mengulas lanjut beliau berkata, secara purata kira-kira 3,000 aduan termasuk pertanyaan diterima setiap bulan sekali gus menjadikan MBSJ pihak berkuasa tempatan di Selangor paling tinggi menerima aduan.
"Walaupun menerima aduan paling tinggi ia tidak menggambarkan MBSJ mempunyai masalah tetapi kerana kepercayaan yang tinggi dari penduduk yang tinggal dalam kawasan pentadbiran MBSJ.
"Setiap aduan juga diberikan respon dengan cepat seterusnya tindakan dilaksanakan kecuali aduan melibatkan kos yang tinggi antaranya membina longkang besar yang akan memakan sedikit masa," ujarnya.
Beliau menambah, MBSJ juga tidak pernah menyembunyikan aduan diterima daripada penduduk kerana ia adalah hak penduduk dan mereka percaya dengan MBSJ untuk menyelesaikan aduan tersebut.