RANTAU PANJANG - Zon Bebas Cukai Rantau Panjang yang sebelum seolah-olah pekan mati kembali meriah apabila orang ramai mengambil peluang datang melihat suasana banjir serta membeli-belah barangan yang dilelong pada harga murah.
Tinjauan Sinar Harian mendapati suasana di kawasan ini sesak dengan kenderaan serta orang ramai yang datang dari pelbagai pelosok kawasan meskipun bukan hari cuti atau hujung minggu.
Peniaga makanan, Ramli Muda, 53, berkata, suasana meriah di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang bermula sejak empat hari lalu apabila orang ramai berpusu-pusu datang ke sini untuk melihat banjir yang masih melanda beberapa kawasan di sini.
"Seronok berniaga, jualan tidak sampai sejam dua sudah habis dan terpaksa tambah bekalan baharu.
"Alhamdulillah, di sebalik musibah, terselit rezeki kami untuk tambah pendapatan. Sebelum ini suasana di sini sangat sunyi dan kurang pengunjung. Kebetulan saya dan keluarga juga merupakan mangsa banjir apabila rumah berhampiran Sungai Golok dinaiki air hampir satu meter di atas rumah," katanya.
Menurut dia, suasana meriah ini seumpama acara tahunan di sini, setiap kali banjir orang ramai akan datang tengok air sambil membeli-belah.
Sementara itu seorang pengunjung dari Bachok, Atikah Mustapha, 43, berkata, dia sudah lama tidak berkunjung ke Zon Bebas Cukai Rantau Panjang kerana lebih banyak membeli secara dalam talian.
"Kebetulan anak-anak minta saya bawa mereka datang tengok kawasan terkesan banjir dan dalam media sosial pula banyak yang berkongsi tentang lelongan dibuat oleh peniaga di sini.
"Jadi peluang ini kami gunakan untuk membeli-belah dengan harga murah. Sangat berbaloi apabila pakaian dijual serendah RM3 hingga RM10 sahaja, rugi siapa yang tidak datang ke sini," katanya.
Pengunjung dari Pasir Puteh, Diana Harun, 32, mengakui perkara yang sama apabila sudah lama tidak berkunjung ke sini namun disebabkan ramai yang berkongsi suasana meriah di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, dia serta rakan-rakan tidak melepaskan peluang tersebut.
Menurut dia, mereka sanggup memandu hampir sejam setengah untuk ke sini dan ia berbaloi apabila dapat membeli-belah dengan harga murah serta menikmati pelbagai makanan sedap yang setanding dengan negara jiran.
"Selepas ini rasanya saya akan kerap ke sini, kerana sebelum ini hanya lalu sahaja bila hendak ke Thailand.
"Bila sudah merasai sendiri suasana di sini, rasanya ia berbaloi untuk dilawati serta makanannya sedap belaka. Niat awal kami hanya untuk melihat kawasan terkesan banjir, kerana Rantau Panjang antara yang teruk selain Tumpat," katanya.