Cabaran Cameron Highlands

Iklan

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands akan diadakan pada 26 Januari 2019, dan hari ini (12 Januari 2019) merupakan hari penamaan calon.

Seperti yang kita sedia maklum, kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands ini berlaku kerana penyandangnya sebelum ini, Datuk C. Sivarraajh gagal mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah memutuskan bahawa kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14 yang lalu adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.

Ini membuatkan MIC tinggal satu kerusi di Dewan Rakyat berbanding dua sebelum ini termasuk Parlimen Tapah. Kini, MIC dan MCA sama-sama ada satu kerusi di Dewan Rakyat, manakala Umno ada 37 kerusi.

Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC sebelum ini telah memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi menewaskan Manogaran dari PKR, Wan Mahadir Wan Mahmud dari Pas, Mohd Tahir Kassim dari Berjasa dan B. Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia.

Justeru, persoalan yang wajar bermain di minda kita adalah, adakah BN akan memenangi kembali kerusi Parlimen Cameron Highlands ini? Jika gagal memenangi kerusi tersebut, maka BN akan kekurangan satu lagi kerusi dalam Parlimen.

Biarpun kekurangan kerusi di Parlimen kali ini tidak akan memberi apa-apa efek kepada kedudukan BN, ia sebenarnya secara tidak langsung masih mampu memberikan implikasi negatif kepada psikologi politikus dan penyokong BN sendiri. Suara BN di Parlimen akan semakin berkurangan serta pengaruh mereka seakan malap di Parlimen. Proses semak dan imbang di Parlimen akan menjadi tidak stabil dan lemah. Sudahlah BN/Umno hilang banyak kerusi kerana ramai wakil rakyatnya telah lompat parti. Kini BN bakal kehilangan kerusi Cameron Highlands pula.

BN telah mengumumkan seorang bekas pegawai polis, Ramli Mohd Nor dari suku kaum Semai sebagai calonnya. Apa yang menarik, calon tersebut bukan ahli dari mana-mana parti komponen BN. Jika mengikut rasional Pemangku Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan, pemilihan Ramli sebagai calon adalah untuk membolehkan BN bukan hanya mempertahankan kerusi Cameron Highlands tetapi juga untuk menang besar dalam PRK berkenaan.

Bagaimanapun, adakah pemilihan calon BN yang bukan ahli dari mana-mana parti komponen BN ini mampu untuk menarik hati rakyat di Cameron Highlands?"Keyakinan kita untuk menang adalah 85 peratus”, kata Tok Mat. Tun Mahathir pula dengan gah berkata,"kita (Pakatan Harapan) akan menang dalam pilihan raya kecil (Cameron Highlands) ini, seperti biasa”. Jadi siapa yang akan menang?

Persoalannya, sudahkah BN terutamanya Umno mengambil kira pengajaran diboikot dan disabotaj oleh ahli-ahli Umno sendiri pada PRU 2008 yang lalu kerana pemimpin tertinggi parti tidak meletakkan calon ‘anak jati’ dan yang mendapat sokongan akar umbi? Barisan Nasional hilang dua pertiga kerusi Parlimen ketika itu kerana disabotaj oleh ahli-ahlinya yang tidak berpuas hati dengan calon-calon BN yang bertanding.

PRU 2008 merupakan tanda awal kepada kejatuhan BN apabila perbuatan sabotaj ahli-ahli Umno sendiri menjadi punca utama kepada kegagalan BN untuk mengekalkan majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen.

Lantas, mungkinkah percaturan BN meletakkan calon yang bukan ahli dari mana-mana parti komponen hanya akan memakan diri?

Namun, calon DAP, M. Manogaran juga tidak lepas daripada sebarang isu apabila pada beberapa hari yang lalu beliau telah mengeluarkan kenyataan tidak sensitif yang berkemungkinan akan menyinggung perasaan orang Melayu dan Orang Asli sendiri.

Kenyataan beliau,"orang Melayu akan tanya, kenapa tak ada calon orang Melayu? Kenapa letak Orang Asli?’ Orang Cina, India juga tidak akan undi Orang Asli”, sebenar turut mengundang tanda tanya sama ada kenyataan ini bersifat perkauman dan merendah-rendahkan Orang Asli.

Adakah beliau mahu mengatakan bahawa darjat Orang Asli begitu rendah sehinggakan bangsa-bangsa lain tidak mahu mengundi calon berbangsa Orang Asli? Dia lupa, kita tiada sistem kasta! Jika mengikut kepada logik beliau juga, ini bermaksud orang Melayu sendiri tidak akan mengundi beliau kerana beliau berbangsa India, bukannya Melayu. Bukankah orang Melayu hanya ‘beli kuih’ daripada orang Melayu sahaja?

Selamat bertanding kepada semua calon PRK Cameron Highlands. Semoga rakyat Cameron Highlands memilih yang terbaik untuk diri mereka.

* Penulis adalah pemerhati senario politik Negaraku dan ahli Pergerakan Pemuda Umno Malaysia

Iklan
Iklan