Perihal jin internet dan jin tanah

Iklan

*CERITA ini sudah biasa sangat kita dengar. Seorang wanita mengenali teman lelakinya menerusi media sosial, sejak tahun lalu.

Temannya yang mendakwa tinggal di New York, Amerika Syarikat itu dikenali hanya menerusi Facebook, tidak pernah bersua muka walau sekali pun.

Oleh sebab termakan pujuk si wanita sanggup mengirim wang menerusi perbankan internet sebanyak RM17,000 kepada teman di alam maya itu.

Hanya setelah wang lesap barulah si mangsa menyedari ditipu, dan mengadu kepada Adun Tangkak, Ee Chin Li. YB berkata, mangsa diperdaya membayar wang untuk kononnya menuntut barang yang disekat di KLIA.

Sudah kerap kita membaca berita seperti ini. Sudah berkali-kali pula pihak berkuasa, termasuk polis memberi amaran supaya jangan terpengaruh dengan orang yang hanya dikenali menerusi maya.

Tetapi, masih ada yang kena. Kata orang sekarang sudah ada apa yang dipanggil pukau internet.

*BUKAN sahaja orang kampung, orang bandar pun dari semasa ke semasa boleh terjebak dan menjadi mangsa penipuan maya.

Seperti dilaporkan media dua hari lalu, sekurang-kurangnya 30 orang telah membayar antara ratusan RM hingga RM7,000 sebagai deposit untuk membeli kenderaan terpakai yang kononnya ditawarkan pada setengah harga.

Urus niaga itu, termasuk penghantar wang, semua dilakukan atas talian, dan mangsa diberitahu supaya ke pejabat sebuah pengedar kereta terpakai di Kepong, Kuala Lumpur untuk mengambil tempahan.

Hanya setelah bertemu tuan punya syarikat kereta terpakai berkenaan, barulah mangsa menyedari telah ditipu. Dan ejen di alam maya itu tidak dapat dikesan.

Mungkin betul ada ilmu pukau di alam maya. Dan, ternyata jin pukau di alam maya lebih hebat daripada jin tanah di alam nyata...

*BARANG diingat, penipuan juga terjadi di alam nyata. Seperti yang berlaku di Sibu, dan dilaporkan di media dua hari lalu.

Seorang ahli perniagaan berusia 58 tahun telah membayar RM796,340 sebagai pelaburan dalam sebuah syarikat pembinaan kapal yang dikatakan menawarkan pulangan paling lumayan.

Ahli perniagaan berkenaan telah didatangi pasangan yang memperkenalkan diri sebagai Kong Nian Wah dan Lau Hang Lieng pada Disember 2016.

Terpesona dengan janji pulangan yang amat lumayan ahli perniagaan berkenaan telah membuat 30 transaksi bank dari 1 Disember 2016 hingga Jun 2018, berjumlah RM796,340.

Enam bulan setelah melabur hampir RM800,000 masih tidak dapat pulangan, ahli perniagaan berkenaan membuat laporan polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit memberitahu apa yang dikatakan syarikat pembinaan kapal itu sebenarnya tidak wujud, dan pasangan yang menerima pelaburan tersebut telah lesap.

*MASIH mengenai internet, seorang lelaki sanggup membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan khidmat seks yang pesanannya boleh dibuat menerusi maya.

Seperti yang dilaporkan media Indonesia lelaki berusia 45 tahun itu sanggup membayar Rp80 juta (kira-kira RM23,270) untuk sekali meniduri seorang artis wanita terkenal di Jakarta.

Menurut majalah Tempo lelaki itu ialah seorang ahli perniagaan keturunan Cina, yang pihak polis hanya mendedahkan namanya sebagai ‘R’. Polis percaya tawar-menawar dengan artis berkenaan dibuat menerusi internet.

Menurut polis lagi siasatan mendapati R hanya baru sekali melanggan artis, tapi itu pun tidak kesampaian kerana aktiviti terbabit tergendala apabila bilik mereka diserbu.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan apakah wang RM23,2370 sudah dibayar, dan apakah wang itu dikembalikan setelah mereka diserbu dan tidak dapat berasmara. Ini mesti jin spesies luar biasa!

*AKHIR kalam, tiga Pegawai Penguat Kuasa Agama Islam Daerah (PAID) di Selangor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah bernilai RM600.

Seperti yang disiarkan media, ketiga-tiga pegawai PAID yang berusia antara 32 tahun hingga 37 tahun itu dikatakan meminta suapan daripada orang awam untuk tidak mengambil tindakan bagi kesalahan kes khalwat di daerah tersebut. Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Moral cerita: pegawai pejabat agama pun ada ketikanya gelap mata. Harap maklum, ini bukan kes pukau...

Iklan
Iklan