Umno akan bersatu

Iklan
KETIKA selesai persidangan Umno baru-baru ini, oops silap, Persidangan Agung Bersatu baru-baru ini bermacam-macam cerita juga yang saya baca.

Begitu-begini terutama tentang isu Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang menggesa supaya kerajaan memberi jawatan dan projek kepada ketua bahagian parti. Ini bertujuan supaya mereka memperoleh wang dan peluang bagi mempertahankan kemenangan PH pada PRU15 nanti.

Kenyataan ini sebenarnya mendapat kritikan juga. Bukan sahaja dari dalam parti Umno, oops tersilap lagi, bukan sahaja dari dalam Bersatu sendiri, tetapi juga kritikan dari luar juga. Antaranya, selain Bersih, Pak Salim yang katanya bukan dari parti mana-mana pun, galak mengkritik juga.

Kata Pak Salim di suatu petang ketika kami sedang minum teh tarik di kedai mamak yang sudah tidak ramai orang lagi, sejak penguatkuasaan merokok yang menyebabkan semua perokok mencangkung seperti katak, menghisap di luar kedai,

"Harapkan pagar-pagar makan padi.”

"Kenapa pagar makan padi pula Pak Salim? Pagar mana pula?” tanya saya pula.

"Ada pula ahli Bersatu minta projek. Mana boleh begitu. Ini dikira kroni. Bukan ke Malaysia Baharu sepatutnya tidak ada kroni lagi? Patutnya pagar jagalah padi. Bukan pagar nak makan padi sekali,’’ jawab Pak Salim sambil membelek-belek surat khabar Sinar seminggu yang lepas.

"Oh depa kena masuk tender dulu kot. Kalau layak baru dapat.”

"Masuk tender apanya. Depa minta terang-terang dalam Dewan tu. Minta projek. Alasannya, sebab sebelum ini depa dah bersusah payah membantu parti sampai dapat memerintah dan jadi kerajaan. Sekarang dah jadi kerajaan, bantu depa pula untuk mengekalkan kemenangan.”

"Depa kata bukan untuk diri sendiri Pak Salim. Untuk parti juga. Depa pun nak buat aktiviti untuk rakyat juga. Selain itu nak berkempen juga."

"Mana kau tahu bukan untuk diri sendiri? Kau tengok kerajaan dahulu, ketika kalah, berapa banyak duit dalam rumah. Berguni-guni. Menitik air mata aku tengok duit tu. Aku nak beli goreng pisang seringgit pun fikir panjang. Nak jimat tau. Eh, air teh ni nanti kau bayar ya?’’

"Oh aha, ya, ya saya bayar. Duit berguni-guni tu duit parti katanya Pak Salim. Untuk kempen pilihan raya.”

"Kau tengok. Bila dah kena, kata duit untuk rakyatlah, duit partilah, duit untuk kempen lah. Sekarang kau ingat kalau depa dapat projek, duit itu belanja untuk rakyat ke?”’

"Agaknya begitulah Pak Salim. Nanti bila berkempen depa nak kena buat sepanduk, poster, ‘keyboard warrior’, nak rakam video dan macam-macam lagi. Semua tu nak duit. Semua tu nak kena upah,” kata saya pula.

"Yalah tu. Isunya sekarang, bila dah main kroni begitu, apa bezanya dengan parti dahulu? Kata Malaysia baharu. Ada kebebasan media, orang politik tak boleh campur tangan lagi dalam institusi pendidikan dan GLC. Tapi sekarang, lain pula cakapnya. Kata orang-orang tua apa tu, cakap tak serupa bikin?”

Saya tersenyum sahaja memikirkan kata-kata Pak Salim. Beliau orang lama. Orang yang masak dengan perjuangan politik Melayu dahulu. Namun ada benar juga. Kalau tidak, apa bezanya dengan kerajaan dulu. Tapi walau bagaimana pun masih terlalu awal untuk mencongak-congak prestasi. Masih ada lima tahun lagi.

Cuma, keadaan ini jika tidak diperhalusi boleh menyebabkan kerajaan baharu akan menerima nasib yang sama juga.

"Syed Saddiq yang muda itu pun tahu perlakuan itu tidak betul dan bercanggah dengan apa yang PH sedang perjuangkan sekarang,” kata Pak Salim lagi.

"Orang muda memang lantang sekarang,” kata saya pula.

"Memang orang muda kena lantang. Orang tua ramai yang dah terlentang sekarang," jawab Pak Salim pantas sambil tangannya mencapai gelas teh tarik."Apa pendapat kau?"

"Nampak sama saja Pak Salim. Baju merah, bersamping, berucap gegak gempita. Semangat Melayu masih kuat di Bersatu. Jelmaan tu Pak Salim, jelmaan. Perhimpunan itu kalau tengok sekali imbas memang teringat-ingat akan zaman kegemilangan Umno. Nampak semangat Umno di situ. Mereka pun rindukan Umno tu,” jawab saya.

Pak Salim mendengus. Tidak puas hati lagi agaknya,"tak, maksud aku tentang ada yang minta projek tu. Kau sokong ke?’’

"Tak sokonglah Pak Salim. Bersatu kena ingat asal perjuangan pada awalnya. Lagipun kata Tun, itu pandangan peribadi saja. Bukan pendirian Bersatu.”

Pada masa yang sama saya teringat juga, ketika di Kedah beberapa minggu lepas. Saya sempat berbual dengan seorang rakan yang aktif berpolitik dan juga seorang kontraktor. Kata rakan saya itu,"nampak tak? Hang nampak tak?’’

"Nampak apa?’’ tanya saya.

"Tak nampak? Tengoklah nanti, tengok,’’ katanya lagi sambil tersenyum lebar menggosok-gosok telapak tangannya.

Ada sesiapa nampak ke?

* Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bertanya khabar email beliau : mrfaisalmuhamad@gmail.com
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan