KDNK terendah: Guan Eng terlalu optimistik, kata Tok Mat

Iklan
Mohamad

SHAH ALAM - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.3 peratus lebih rendah berbanding ramalan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Bajet 2019 iaitu 4.9 peratusan dan 4.7 peratus pada ucapan Bajet 2020 disebabkan beliau terlalu optimistik.

Beliau berkata, ia membuktikan Guan Eng tidak dapat meramal pertumbuhan ekonomi secara realistik dan objektif.

Iklan
Iklan

"Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia hanya meningkat 3.6 peratus pada suku keempat 2019 iaitu kadar yang paling lemah sejak 10 tahun lalu.

"Bajet 2019 tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana hasil kerajaan jelasnya tidak dapat menepati sasaran. Maka rakyat tidak dapat menikmati janji-janji yang ditabur dalam bajet secara sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: KDNK 2019 terendah sejak 2009 kerana gangguan komoditi

Iklan

Mohamad berkata, persoalan yang perlu diketengahkan ialah mengapa penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang sepatutnya merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi mampan tidak dapat menyelamatkan prestasi ekonomi negara yang semakin merudum.

Menurutnya, Guan Eng juga telah mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang lebih pesat pada tahun 2020 iaitu sebanyak 4.8 peratus namun adakah unjuran itu boleh dipercayai memandangkan ramalan bagi tahun 2019 salah untuk dua tahun berturut-turut.

Iklan

"Apa yang lebih membimbangkan ialah ekonomi negara kini diimpak besar disebabkan penyebaran wabak koronavirus (Covid-19). Adakah kerajaan masih terlalu optimistik sehingga tidak bersedia untuk menangani isu aliran tunai operasi perniagaan?" soalnya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, seperti yang dilaporkan oleh BNM bahawa KDNK suku keempat 2019 merupakan pertumbuhan terendah sejak krisis kewangan 2009 berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi termasuk kejatuhan pengeluaran kelapa sawit, minyak mentah dan gas asli.

"Bagaimanakah kerajaan PH akan merangsang pertumbuhan sektor komoditi terutamanya sektor kelapa sawit dan getah? Adakah rakyat luar bandar yang kebanyakannya bergantung kepada sektor komoditi ini akan terus ditindas memandangkan kos hidup semakin meningkat?" soalnya lagi.