Isu tahanan di rumah, Titah Adendum hangatkan Dewan Rakyat
Iklan
Tindakan Rayer menimbulkan reaksi balas Che Mohamad Zulkifly yang turut menambahkan lagi kekecohan yang berlaku apabila menggunakan perkataan 'macai' ketika menyuruh Rayer duduk.
KUALA LUMPUR - Isu berkaitan akta tahanan di rumah dan Titah Adendum yang dibangkitkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menghangatkan sesi Dewan Rakyat pada Rabu.
Ia bermula ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, apabila Takiyuddin mencelah dan bertanya mengenai kandungan akta berkaitan tahanan di rumah itu serta sama ada wujud Titah Adendum seperti yang diperkatakan.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun Azalina berkata, isu akta berkaitan tahanan di rumah dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) seperti yang dikemukakan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) sebelum itu hanya boleh dijawab oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Khamis.
"Saya minta maaf sebab kedua-duanya hanya boleh dijawab oleh Menteri Dalam Negeri. Saya tidak bertanggungjawab kepada isu tentang pindaan pada akta penjara atau wujudnya akta baharu untuk tahanan di rumah. Berkenaan dengan SOSMA juga saya tidak bertanggungjawab," katanya.
Iklan
Namun, Takiyuddin tidak berpuas hati dan menyifatkan Azalina selaku menteri bertanggungjawab sepatutnya mengetahui maklumat tersebut.
"Peguam Negara adalah salah seorang ahli dalam Lembaga Pengampunan. Tak kan Yang Berhormat (YB) tak dapatkan maklumat daripada AG (Peguam Negara) mengenai isu Adendum tadi," katanya.
Iklan
Isu berkaitan akta tahanan di rumah dan Titah Adendum yang dibangkitkan Takiyuddin menghangatkan sesi Dewan Rakyat pada Rabu.
Azalina bagaimanapun mempertahankan kenyataannya sambil mempersoalkan tindakan Takiyudin yang cuba membuat tuduhan berkaitan kredibilitinya sebagai menteri bertanggungjawab.
"Saya agak keliru ya YB, YB dahulu pun menteri undang-undang. Adakah YB mengatakan bahawa Peguam Negara lapor pada YB?
"Saya minta maaf ya YB, dalam Kerajaan Madani ini, saya menteri yang bertanggungjawab undang-undang, saya tidak terlibat dalam pelantikan Peguam Negara, saya tidak melibat diri melihat fail dalam Peguam Negara dan saya juga tidak terlibat dengan Lembaga Pengampunan.
"Sebab menteri bertanggungjawab, adalah Menteri Wilayah. YB sebagai mantan menteri undang-undang dalam kerajaan, sudah tentu YB lebih berakal daripada saya," katanya.
Takiyuddin bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan jawapan Azalina dan menyatakan agar Azalina tidak perlu 'berhelah'.
Azalina kemudiannya mempersoalkan 'helah' yang dimaksudkan oleh Takiyuddin dan bertanya sama ada ia adalah amalan yang dibuat ketika menjawat jawatan sebagai menteri undang-undang.
"Apa helahnya? Jadi maknanya YB mengaku memberi arahan kepada Peguam Negara ketika YB menjadi menteri (undang-undang)?" soalnya.
RSN Rayer (PH-Jelutong) turut bangkit mempertahankan Azalina dengan mengingatkan Takiyuddin agar tidak membuat tuduhan.
Tindakan Rayer bagaimanapun menimbulkan reaksi balas Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang turut menambahkan lagi kekecohan yang berlaku apabila menggunakan perkataan 'macai' ketika menyuruh Rayer duduk.
Berang dengan tindakan Che Mohamad Zulkifly, Rayer menggesa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul agar mengarahkan perkataan 'macai' ditarik balik.
Che Mohamad Zulkifly cuba mempertahankan perkataan yang digunakan dengan alasan ia juga pernah digunakan oleh wakil kerajaan terhadap pembangkang, membawa maksud 'pengikut' dan 'anak buah'.
Kekecohan bagaimanapun berjaya dikawal oleh Johari.
"Cukup (jawab) pengikut. Duduk, Besut. Duduk, saya dah faham dah...menteri teruskan," katanya.
Wan Ahmad Fayhsal (PN-Machang) berkata, cadangan itu mengambil kira pengalaman luas Mohd Shuhaily dalam bidang penguatkuasaan, termasuk ketika berkhidmat di AKPS dan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/802998/berita/nasional/wan-ahmad-fayhsal-cadang-shuhaily-dilantik-dalam-pasukan-siasat-mafia-korporat
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.