Misi bawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan berlepas esok: Wan Azizah

Iklan
Wan Azizah bercakap pada sidang media selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Hokkien di Shah Alam. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI

KLANG - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia dari China susulan penularan wabak koronavirus akan berlepas esok.

Menurutnya, setakat ini seramai 132 orang dengan 108 rakyat Malaysia dan 24 bukan warganegara terdiri daripada pasangan serta anak yang mendaftar dengan Kedutaan Malaysia untuk dibawa pulang dari Wuhan.

Iklan
Iklan

"Mereka yang akan dibawa pulang hanyalah mereka yang didapati sihat untuk menaiki pesawat selepas menjalani tapisan kesihatan (exit screening) yang ditetapkan oleh kerajaan China di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.

"Pesawat AirAsia akan digunakan bagi misi ini dengan melibatkan 12 kru. AirAsia telah menetapkan tarikh penerbangan pada 3 Februari 2020 tertakluk kepada kelulusan Kerajaan China.

Iklan

"Penerbangan ini juga akan membawa bantuan keperluan seperti penutup muka, sarung tangan serta makanan yang tertakluk kepada senarai dipersetujui oleh kerajaan China," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Bangunan Persatuan Hokkien, Klang di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, misi tersebut akan disertai lapan orang terdiri daripada enam pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) dan Kementerian Luar Negeri.

Iklan

"Saya telah bertemu dengan semua pegawai yang akan menyertai misi termasuk kru penerbangan untuk mengucapkan terima kasih tidak terhingga kerajaan dan rakyat Malaysia khususnya keluarga yang terlibat atas pengorbanan mereka membantu membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan.

"Saya juga menasihati mereka agar menjaga kebajikan dan kesihatan dan semua yang dibawa pulang," katanya.

Koronavirus

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, beliau pada sebelah pagi tadi berkesempatan melawat Air Disaster Center (ADU) di mana di semua penumpang, pasukan misi dan kru akan menjalani tapisan kesihatan sekali lagi sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Bagi mereka yang dikesan mempunyai simptom, akan terus dibawa ke hospital manakala yang melepasi saringan akan dibawa terus menaiki bas ke pusat pemantauan bagi tujuan pemantauan.

"Saya mendapati persiapan dan kelengkapan perubatan telah disediakan sebaik mungkin bagi tujuan pemeriksaan kesihatan tersebut," katanya.

Katanya, beliau turut ke pusat pemantauan untuk meninjau bilik operasi, bilik penginapan dan kemudahan lain yang disediakan untuk semua 158 penumpang bagi menjalani pemantauan selama 14 hari.

"Umumnya saya berpuas hati dengan semua atur gerak dan persiapan yang dibuat untuk melaksanakan misi ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya pihak Kementerian Kesihatan, AirAsia, Malaysia Airport, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Nadma dan agensi-agensi lain yang menguruskan misi ini.

"Marilah kita rakyat Malaysia mendoakan misi ini berjalan lancar dan semua yang dibawa pulang dari Wuhan serta pasukan misi dan kru terlibat selamat," katanya.

Wan Azizah merasmikan gimik majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Hokkien di Shah Alam. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI

Wan Azizah turut memaklumkan tiada pertambahan kes positif koronavirus di Malaysia setakat jam 12 tengah hari tadi.

"Jumlah kumulatif kes positif koronavirus yang dilaporkan kekal lapan kes.

"Jumlah kumulatif kes patient under investigation (PUI) jangkitan koronavirus ialah seramai 183 orang dan 18 orang masih menunggu keputusan makmal. Kontak rapat (close contacts) kepada kes positif virus ini kekal seramai 32 orang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Kematian di China meningkat kepada 304

Koronavirus: Filipina catat kematian pertama luar China

Jumlah kematian akibat wabak koronavirus baru di Hubei meningkat sebanyak 45 kes, menjadikan jumlah keseluruhan 304 kes setakat Sabtu (1 Februari) malam, menurut laporan televisyen China.

Hubei, di mana virus tersebut bermula, mencatatkan 1,921 kes tambahan, menjadikan kesemuanya 9,074 jangkitan di wilayah itu.

Di seluruh negara itu, jumlah jangkitan setakat ini telah melebihi 14,300 kes, menurut laporan agensi berita CNA.

Kebanyakan kes kematian dan jangkitan virus yang dinamakan 2019-nCoV itu dilaporkan di Hubei, sebuah wilayah di tengah China yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Pada Jumaat, seorang pegawai tinggi kerajaan di Wuhan, bandar yang mempunyai 11 juta penduduk di mana kes pertama dilaporkan pada Disember 2019, melahirkan kekesalan karena pihak berkuasa tempatan didakwa bertindak terlalu lambat.