Membangun bangsa al falah

Iklan

RAJIN, tekun, tidak bertangguh, rapi, kemas, tepati masa, penuhi janji, bersih, jujur, amanah. Inilah sejumlah sifat dan tabiat yang menunjukkan seorang atau satu bangsa itu bakal mencapai al falah (kejayaan). Sebaliknya ciri malas, suka bertangguh, tidak tepat janji, tidak mengurus masa dengan baik, pengotor, feudal, adalah senarai panjang bagaimana sesebuah bangsa akan berada pada kedudukan paling mundur.

Seruan al falah menjadi semboyan azan setiap kali waktu solat, ditambah lagi ketika iqomah untuk mula solat berjemaah. Namun rahsia di sebalik semboyan dalam azan itu jarang dijadikan rangsangan kuat untuk membangunkan bangsa.

Iklan
Iklan

Kerap ungkapan negara dan bangsa seperti Jepun, Korea dan negara-negara Scandanavia dilapor memiliki contoh lebih baik dalam hal kebersihan kerajinan, disiplin, intergriti, dan urus tadbir yang baik. Secara umum memang kualiti dan tahap disiplin kerja yang tinggi di negara- negara tersebut menjadi ungkapan yang sering diperkatakan.

Sepuluh negara terbersih di dunia, akan didapati senarai : Sweden, Denmark, Slovenia, Sepanyol, Portugal, Estonia, Perancis. Bila dicari negara mana rakyatnya paling rajin berdasarkan jam kerja seminggu maka tersenarai Turkey, 47.9 jam, Colombia, 47.9 jam, Mexico, 45.2 jam, Costa Rica, 44.9 jam, Chile, 43.4 jam, South Africa, 43.1 jam, Israel, 40.6 jam, Poland, 39.9 jam, Hungary, 39.6 jam, Portugal, 39.4 jam.

Iklan

Meneliti 10 negara teratas yang mempunyai celik huruf 100% dalam kalangan rakyatnya, tersenarai Andorra, Finland, Holy See, Liechtenstein, Luxembourg, Norway, Democratic People's Republic of Korea, Latvia, Estonia dan Lithuania.

Dalam senarai 30 negara teratas yang mempunyai kadar membaca tinggi, Malaysia tidak termasuk. Perangkaan 2005 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun di Malaysia, berbanding 180,000 judul di China, 116,000 judul di United Kingdom, 60,000 judul di Amerika Syarikat dan 45,000 judul di India. Rakyat Malaysia direkodkan membaca purata 2 naskhah buku setahun.

Iklan

Mungkin sahaja ukuran yang diguna di atas tidak menepati gambaran sebenar, akan tetapi secara keseluruhan agak sukar memposisikan negara umat Islam sebagai memenuhi kriteria negara yang berada di aras al falah diharapkan.

Membangun bangsa yang berjaya bukan mudah. Ia memerlukan pembabitan pelbagai pihak: kepimpinan, institusi, cendekiawan, ulama, aktivis masyarakat, ahli profesional. Dalam kalangan mereka ini juga memerlukan pembinaan tersendiri kerana sikap dan minda yang negatif akan sukar menyumbang kepada proses perubahan.

Dalam konteks membangun bangsa di negara ini, nampaknya masih menjadi isu yang hangat didebatkan. Sama ada di warung kopi sehingga di Dewan Rakyat, hatta menjadi tema persidangan parti politik. Adakalanya isu bangsa membawa kepada aksi jalanan bila ditanggapi ada yang menghina atau dianggap mencabar status bangsa dan pelbagai institusi berkaitan.

Sementara menunjukkan sikap sensitif kepada soal bangsa itu baik, sayangnya sikap untuk melihat secara kritikal terhadap sifat bangsa yang merugikan seperti kebergantungan, bermentaliti subsidi, suka mengkhianati sesama sendiri, suka cemburu, memilih kerja yang selesa, suka menciplak, berbelanja mewah, tidak pula mahu diubah.

Persoalan asas yang belum terjawab ialah kenapa bangsa ini masih terus keterbelakang secara bandingan dengan bangsa lain sedangkan bangsa Melayu paling banyak menerima bantuan. Apakah kaedah diaplikasikan tidak berkesan ataukah sikap dan cara berfikir bangsa ini yang perlu ditransformasikan? Benar, dakwaan bangsa Melayu malas tidak tepat, namun kenapa bangsa Melayu masih bermasalah dalam bersaing dengan bangsa lain? Apakah menyebabkan pengusaha Melayu tanpa bantuan kerajaan, tidak mampu bertahan?

Membangun bangsa berdisiplin akan sukar diterjemahkan jika budaya hidup bergantung berterusan. Disiplin menjadi prasyarat kepada kerajinan. Kerajinan akan membuahkan al falah. Bangsa yang hidup hanya dengan jaminan kerajaan akan meletakkan nasib kepada pemerintah semata-mata.

Konotasi 'jam Melayu' dan 'janji Melayu' sering menggambarkan sikap dan disiplin yang rendah kalangan bangsa Melayu. Walaupun ia suatu sindiran yang dilontar oleh orang Melayu kepada bangsanya sendiri, akan tetapi ia tetap mempengaruhi persepsi bangsa lain terhadap bangsa Melayu.

Kini lebih 1 juta penjawat awam adalah bangsa Melayu. Mereka bertugas dalam sektor awam yang dikawal selia oleh disiplin dan peraturan bertugas yang dipimpin Ketua Setiausaha Negara. Bukan senang menyelia sejumlah karyawan yang besar itu. Mereka ditempatkan di pelbagai agensi yang memerlukan budaya disiplin kerja yang tinggi untuk menjalankan urus tadbir negara.

Demikian juga ratusan ribu bangsa Melayu dalam sektor pertanian, perikanan, perkebunan. Ratusan lagi berada dalam sektor perindustrian dan pembinaan. Bangsa Melayu yang terlibat dalam sektor swasta dalam pelbagai bidang perdagangan, pembuatan dan perkhidmatan juga tidak kurang banyaknya.

Semua ini pasti akan menghasilkan produktiviti yang berjaya jika bangsa punya tahap disiplin yang tinggi.