'Kali pertama dicalon terus menang'

Iklan
Natasha dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2023 di MSN, Bukit Jalil pada malam Khamis.

TUAH angka satu buat pemain boling negara, Natasha Mohamed Roslan apabila impiannya untuk meraih pengiktirafan terbesar dalam arena sukan negara tercapai setelah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2023 pada malam Khamis.

Bermula dengan gelaran juara dunia buat kali pertama tahun lalu, kali pertama dicalonkan untuk kategori utama tersebut dan rezeki memihak atlet berusia 28 tahun itu apabila dijulang sebagai pemenang menafikan empat pencabar lain.

Iklan
Iklan

Malah, Natasha juga menyifatkan kemenangan itu sebagai impian menjadi kenyataan kerana menjadi idamannya untuk mengikut jejak langkah idolanya, ratu boling negara, Datuk Shalin Zulkifli yang pernah merangkul gelaran sama 22 tahun lalu.

"Alhamdulillah, pencapaian terbesar dalam karier saya. Kali pertama dicalonkan dan terus menang. Ia juga jadi sasaran saya untuk ikut jejak mentor dan jurulatih, Shalin yang saya anggap sebagai kakak.

Iklan

"Apabila dia (Shalin) jadi Olahragawati, dalam hati saya juga bertekad untuk menang anugerah sama,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menerima anugerah tersebut dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Iklan

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli Abd Halim dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Menerusi kemenangan itu Natasha mengenepikan cabaran S Sivasangari (skuasy), Nur Amisha Azrilrizal (Muay Thai), Nur Syazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang) bagi perebutan gelaran Olahragawati Kebangsaan.

Natasha mendedahkan sangat terkejut dengan pengiktirafan itu dan mengakui amat gemuruh apabila nama disebut sebagai pemenang.

"Lebih gugup daripada bermain boling. Saya pernah menang untuk kategori pasukan terbaik pada 2022, tapi pada masa itu naik (pentas) bersama rakan lain. Kali ini seorang, lebih gugup. Apa pun sangat gembira kerana ini pencapaian terbesar.

"Secara jujur saya tak tahu (menang). Saya berada di Kuching bersama rakan-rakan lain kerana ada kejohanan (Terbuka Antarabangsa Sarawak). Diminta untuk balik (ke Kuala Lumpur) dan sampai pada pukul 3 petang (Khamis) bersiap dan terus ke sini (Bukit Jalil),” katanya.

Natasha menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia selepas memenangi pingat emas acara individu pada Kejohanan Dunia di Salmiya, Kuwait pada 9 Oktober tahun lalu.

Dia mengetepikan cabaran rakan senegara, Sin Li Jane menerusi keputusan 2-1 dalam format tiga permainan terbaik pada aksi yang berlangsung di Kuwait Bowling Sporting Club.

Sebagai rekod, kali terakhir atlet boling wanita merangkul Olahragawati Kebangsaan adalah menerusi Shalin pada 2002.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!