Kes 1MDB: Rosmah beri aku janji tidak lupuskan barangan mewah RM1.6 bilion

Iklan
Rosmah

KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor memberikan aku janji untuk tidak melupuskan barangan kemas, beg tangan, jam tangan dan cermin mata berjenama mewah yang kini berada dalam milikan atau kawalannya yang dituntut oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Reza Raim dan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Rosmah memberi aku janji itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Adlin Abdul Majid hari ini untuk tidak melupuskan semua barangan berkenaan yang didakwa 1MDB bernilai keseluruhan AS$346 juta (RM1.6 bilion).

Iklan
Iklan

Pada pengurusan kes hari ini secara dalam talian, peguam Lim Chee Wee mewakili 1MDB bersetuju dengan aku janji itu, sementara menunggu pendengaran permohonan injunksi Mareva terhadap Rosmah bagi menghalang beliau mengeluarkan atau melupuskan mana-mana asetnya.

Injunksi Mareva ialah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Iklan

Muhammad Shafee kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan untuk membatalkan kes saman yang difailkan 1MDB terhadap Rosmah.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Julai ini untuk pengurusan kes seterusnya.

Iklan

1MDB dan lima anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd selaku plaintif pertama hingga keenam.

Lima lagi ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Pernyataan tuntutan 1MDB yang difailkan pada 4 Jun lepas terhadap Rosmah mendakwa isteri kepada bekas perdana menteri itu memperoleh barang kemas, beg tangan dan barangan mewah lain yang dibeli menggunakan dana syarikat berkenaan berjumlah lebih AS$346 juta (RM1.6 bilion) daripada 48 vendor berbeza di 14 negara.

Vendor terbabit ialah dari British Virgin Islands (satu), Hong Kong (sembilan), India (empat), Indonesia (dua), Itali (tiga), Lubnan (tiga), Mauritius (satu), Panama (satu), Singapura (satu), Thailand (dua), Emiriah Arab Bersatu (tujuh), Turki (dua), United Kingdom (dua) dan Amerika Syarikat (tujuh), manakala lokasi tiga lagi tidak diketahui.

1MDB dan SRC mendakwa lapan entiti luar pesisir yang menerima dana tidak berkaitan dengan syarikat itu ialah Aabar Seychelles, Affinity Equity, Alsen Chance, Blackrock, Blackstone, Brightstone, Good Star Ltd dan World Merit Management Ltd yang didakwa bertindak sebagai perantara serta membuat pembayaran bagi barangan mewah terbabit.

Oleh itu, kesemua plaintif antara lain menuntut Rosmah membayar AS$346,010,489 atau sejumlah amaun yang ditaksir oleh mahkamah, selain memohon deklarasi bahawa plaintif pertama hingga keenam mempunyai hak terhadap barangan mewah yang kini didakwa berada dalam simpanan defendan pertama. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!