Selangor kecewakan Negeri Sembilan 4-0

Iklan
Pemain Selangor FC, Alvin Mateus (tengah) melepasi dua pemain Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super di antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Petaling Jaya pada Ahad. Foto Bernama

SELANGOR FC menjaringkan kesemua gol pada babak kedua untuk menumpaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-0 pada aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini malam ini.

Babak pertama menyaksikan pasukan tuan rumah tampil garang apabila mendominasi perlawanan dengan menghasilkan beberapa peluang termasuk Muhammad Mukhairi Ajmal yang membuat cubaan menanduk bola ke gawang namun tersasar pada minit ke-21.

Iklan
Iklan

Skuad di bawah bimbingan Mohd Nidzam Jamil sekali lagi memperoleh peluang memecah kebuntuan apabila Muhammad Mukhairi menghantar bola untuk diterjemahkan Ronnie Fernandez tetapi gagal dimanfaatkan pada minit ke-32.

Di minit kecederaan masa pertama, giliran pasukan pelawat pula membuat percubaan apabila pemain tengah Takumi Sasaki membuat larian jauh untuk membolosi gawang Selangor namun tendangan tersasar sekali gus mengecewakan NSFC.

Iklan

Pada babak kedua, skuad Gergasi Merah memperkemas langkah memburu jaringan membuahkan hasil apabila Yohandry Orozco merembat deras bola ke gawang pada minit ke-46 namun dinafikan pengadil yang memeriksa video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan Orozco di kedudukan ofsaid.

Perkara itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat Selangor yang akhirnya berjaya membuka tirai jaringan apabila Fernandez meledak jaringan selepas menerima hantaran Noor Al Rawabdeh pada minit ke-57.

Iklan

Tidak cukup dengan itu Gergasi Merah terus mengganas apabila giliran Orozco mencipta gol pada minit ke-68 sebelum beliau sekali lagi menyempurnakan jaringan ketiga di minit ke-76.

Selangor terus menambah duka pasukan pelawat menerusi Reziq Mohammed Saleh Banihani meledak gol terakhir pada minit kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor memperoleh tiga mata penuh untuk menduduki tangga keempat carta Liga Super musim ini dengan enam mata manakala NSFC jatuh di tangga tercorot tanpa sebarang mata. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!