Muhammad Nazmi mahu lebur rekod peribadi di Paris

Iklan
Muhammad Nazmi ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad. Foto Bernama

SELEPAS melayakkan diri secara tidak rasmi ke Sukan Paralimpik Paris 2024, atlet lompat jauh negara, Muhammad Nazmi Nasri kini memasang impian untuk melebur rekod peribadinya 6.13 meter (m) yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia Kobe 2024, di temasya empat tahun sekali itu.

Muhammad Nazmi, 21, yang beraksi dalam acara lompat jauh T37 (kecacatan fizikal) berkata, kejayaan menggenggam emas kali pertama di pentas antarabangsa itu pasti mendorongnya untuk terus bersemangat menabur bakti buat Malaysia.

Iklan
Iklan

"Penyertaan di Jepun merupakan pentas antarabangsa kedua selepas Sukan Para ASEAN (APG) Kemboja, insya-ALLAH di Paralimpik saya akan berusaha untuk dapat pingat tapi kalau berada dalam kelompok tiga terbaik pun okay.

"...kalau diberi rezeki di Paralimpik, saya mahu letakkan sasaran 6.2m ke atas. Saya rasa kebanyakan lawan di Paris sama seperti di Jepun tapi pastinya perlu perbaiki beberapa perkara,” katanya kepada pemberita setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini petang Ahad.

Iklan

Muhammad Nazmi tiba bersama skuad olahraga para negara yang menamatkan saingan Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun dari 12-25 Mei, dengan membawa pulang tiga pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Muhammad Nazmi memenangi pingat emas acara lompat jauh T37 (kecacatan fizikal) lelaki dengan catatan 6.13m, manakala pingat perak dan gangsa masing-masing diraih Konstantinos Kamaras dari Greece (6.01m) dan Mateus Evangelista Cardoso dari Brazil (6.01m).

Iklan

Sementara itu, jurulatihnya, Eryanto Bahtiar berkata, Muhammad Nazmi layak membawa pulang emas di pentas dunia itu memandangkan atlet kelahiran Johor itu seorang yang dedikasi, berdisiplin dan mendengar setiap nasihat yang diberi.

"Saya baru latih dia dalam setahun lebih. Kejohanan di Jepun memang sudah pasti dia boleh lompat lebih 6m, namun tak sangka dia bawak balik emas sebab secara peribadi saya jangka dia dapat perak.

"Memang perasaan sangat seronok sebab dia menang dan layak ke Paralimpik Paris. Dia atlet baru jadi saya tidak mahu letakkan sasaran tapi tetap akan rangka pelan terbaik untuk dia ke sana (Paris),” katanya yang merasakan sasaran 6.2m ke atas adalah relevan berdasarkan keadaan semasa atlet berkenaan.

Malah Eryanto merasakan Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara (ISN) juga perlu diberikan penghargaan atas segala usaha serta bantuan yang disalurkan kepada Muhammad Nazmi sepanjang persediaan ke kejohanan berkenaan.

"...untuk kekuatan dan kecergasan dia, saya guna khidmat ISN tapi paling penting untuk Muhammad Nazmi adalah biomekanik. Sebagai jurulatih, kita ada mata namun kesilapan kecil yang dia buat kita tak boleh nampak dengan mata kasar (jadi memang guna bantuan ISN),” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!