Tali air cetek, dipenuhi kangkung - Pesawah

Iklan
Ahmad Puzi menunjukkan tali air yang dipenuhi kangkong di Kampung Alor Ali, Mukim Bukit Raya di Pendang pada Ahad.

PENDANG - Kira-kira 20 pesawah di Kampung Alor Ali dan Kampung Tok Pauh Mukim Bukit Raya di sini mengalami kerugian apabila tidak dapat mengerjakan sawah kerana masalah perparitan.

Pesawah, Abdul Hamid Ghafar, 45, berkata, tali air di kawasan sawah seluas 30 hektar itu tidak diselenggara dengan baik menyebabkan ia semakin cetek selain dipenuhi kangkung.

Iklan
Iklan

Katanya, keadaan itu berlarutan sejak lima tahun lalu walaupun aduan kepada pihak bertanggungjawab sudah diajukan beberapa kali.

"Apabila musim hujan inilah masalah kami air bertakung dalam sawah, sedangkan pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) minta kami ikut jadual tanaman tapi macam mana nak ikut kalau air masih bertakung.

Iklan

"Begitu juga pada musim panas, air tak boleh masuk ke dalam sawah menyebabkan proses tumbesaran padi terbantut.

"Setiap kali musim tanam padi, kami akan rugi RM1,000 bagi setiap 0.3 hektar yang kami usahakan," katanya ketika ditemui di Kampung Alor Ali, Mukim Bukit Raya di sini pada Ahad.

Pesawah menunjukkan kawasan sawah yang masih ditakungi air.

Iklan

Ahmad Puzi Bahari, 62, berkata, kali terakhir tali air berkenaan diselenggara adalah kira-kira tujuh tahun lalu, namun ia kembali cetek.

"Kami kat sini pernah berpakat mengumpul duit RM50 seorang untuk menyewa jengkaut bagi membuang kangkung di situ, namun ia tidak dapat menyelesaikan masalah itu sepenuhnya.

"Tali air ini perlu didalamkan tapi kosnya terlalu tinggi, kami tak mampu nak sewa jengkaut untuk tempoh yang lama.

"Lagi pun setiap kali musim padi, kami hanya balik modal dan terpaksa bayar hutang kepada tauke padi dan MADA bagi pembelian benih padi," katanya.

Bagi Rosli Ahmad, 52, keadaan yang dihadapi itu menyebabkan beliau terpaksa menanggung kos membayar sewa jentera membajak dan membeli benih sebanyak dua kali.

"Sepatutnya kami sudah mula menabur tapi sekarang terpaksa tangguh dulu, saya pula perlu bayar sewa kepada pemilik setiap musim.

"Jika MADA tidak mengambil tindakan kami tak tahu bila kami boleh mula menabur benih.

"Saya harap MADA mengambil berat aduan kami ini kerana sudah terlalu lama menanggung kerugian," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!