Subsidi bersasar diesel: KPDN, PDCK pertingkat langkah elak ketirisan di sempadan

Iklan
Azman

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dan Persatuan Pakatan Dealer-dealer Caltex Kelantan (PDCK) akan terus bekerjasama membanteras ketirisan subsidi di sempadan Malaysia-Thailand.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata bagi kes di sempadan, pihaknya akan memberi tumpuan di kawasan sungai sepanjang 96 kilometer antara Kelantan dengan Thailand.

Iklan
Iklan

"Paling sukar dihadapi apabila pelaku telah melepasi garis sempadan dan kuasa kita hanya di sini negeri ini sahaja,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Azman berkata, berdasarkan pengalaman, pihaknya pernah memberkas rakyat tempatan menggunakan kenderaan tanpa sebarang pengubahsuaian pada plat pendaftaran kenderaan Malaysia, namun kegiatannya dikesan apabila terlalu kerap mengisi minyak di stesen sama.

Iklan

"Setelah melakukan risikan dan mendapati berlaku kegiatan penyeludupan minyak diesel secara haram, walaupun dalam kuantiti kecil dan tangkapan telah dibuat ketika pelaku sedang mengisi minyak secara berulang kali di sebuah stesen berhampiran sempadan.

"Pendekatan terbaharu kita ialah meletakkan stesen statik terpilih di kawasan sempadan, membolehkan kami mudah memeriksa sekiranya berlaku transaksi mencurigakan, manakala pemilik stesen minyak pula perlu memberi kerjasama,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi PDCK, Che Din Mohamad berkata pengusaha stesen minyak sekitar Kelantan menyatakan pendirian akan terus mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan, bagi mengelak ketirisan subsidi diesel dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Sekiranya kami mendapat laporan berlaku ketirisan dengan bukti kukuh dalam kalangan pengusaha stesen minyak terutama ahli persatuan sendiri, kami tidak akan teragak-agak untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa.

"Pihak persatuan sering mengadakan perjumpaan bagi mendengar perkara serta isu berbangkit, selain memberi penerangan tentang isu-isu semasa yang diumumkan pihak kerajaan supaya pengusaha stesen minyak tidak terlibat dalam pelanggaran undang-undang,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!